TAWAU: Polis menahan dua lelaki warga tempatan dan merampas dadah jenis syabu dengan anggaran berat 150 gram yang dianggarkan bernilai RM12,000 menerusi operasi Taring ESSZONE di kawasan Felda Umas, Kalabakan pada Rabu lalu (31 Jan).
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kedua-dua suspek berusia 33 hingga 37 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Polis dari Kompeni C, Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau ketika menjalankan tugas rondaan di kawasan Jeti Felda Umas, Kalabakan.
“Ketika menjalankan tugas rondaan, pihak Polis telah ternampak sebuah kereta jenis Proton Saga yang dinaiki dua orang lelaki, parkir di kawasan tersebut dalam keadaan mencurigakan.
“Pihak Polis kemudiannya menahan kedua-dua suspek, namun seorang daripadanya cuba melarikan diri dan mencampakkan beg pinggang berwarna hitam ke atas tanah dan berjaya ditahan setelah berlaku pergelutan antara pihak Polid dan suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat lalu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam beg pinggang berkenaan mengandungi satu bungkusan beg plastik warna putih di dalamnya terdapat tiga paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu.
Susulan dari itu, kesemua suspek bersama barang rampasan tersebut dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Tawau untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Seskyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
ACP Jasmin berkata, hasil pemeriksaan saringan ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Tegasnya lagi, Polis akan terus menggempur dan memburu serta bekerjasama dengan penduduk setempat bersama agensi penguatkuasa yang lain bagi mengekang penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) serta membanteras aktiviti jenayah dan dadah yang menyalahi undang-undang.






