LAHAD DATU: Seorang lelaki maut selepas dipercayai lemas di air terjun Sepagaya pada kira-kira jam 10 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya kemudian menggerakkan pasukan selepas menerima panggilan kecemasan berkenaan kes tersebut pada jam 10.45 pagi.
“Laporan melibatkan seorang lelaki 18 tahun dipercayai lemas dan telah dikeluarkan oleh Pasukan Bomba dan anggota perhutanan.
“Mangsa, Mohd Syaiful Romeo seterusnya disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan operasi kemudian ditamatkan pada jam 1.10 petang,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Dalam pada itu, pihak Jabatan Bomba khsusnya BBP Lahad Datu meningatkan orang ramai untuk menangguhkan seketika semua aktiviti air bersempena dengan Monsun Timur Laut yang sedang berlaku di negeri ini.
“Dua kejadian lemas yang berlaku di daerah Lahad Datu dapat dielak sekiranya pihak ibu bapa peka terhadap perkembangan cuaca pada ketika ini,” tegasnya.






