Ewon Lancar RTB, Galak Koperasi Ceburi Industri Perwarisan

Ewon Lancar RTB, Galak Koperasi Ceburi Industri Perwarisan

0
SHARE
Ewon
Ewon sekitar majlis pelancaran Rakyat Trustee Berhad (RTB) - ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick melancarkan Rakyat Trustee Berhad (RTB) sebuah syarikat pengurusan pusaka dan menggalakkan koperasi menceburi industri perwarisan harta pusaka.

Beliau berkata, perniagaan perwarisan dilihat mempunyai potensi yang besar dan memberi peluang kepada koperasi meluaskan bidang perniagaan mereka.

“Sehubungan itu saya menyeru para koperator terutamanya koperasi-koperasi kredit mengambil peluang menjalin kerjasama dengan syarikat amanah dan menjadikan bidang ini sebagai sumber pendapatan baharu kepada koperasi.

“Saya juga berharap kerjasama RTB dengan koperasi-koperasi dapat dipertingkatkan dan membuka peluang kepada koperasi menjana pendapatan melalui perniagaan ini,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Ewon berkata, penglibatan RTB dalam industri perwarisan harta pusaka akan mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan industri untuk menghasilkan produk-produk terbaik untuk pelanggan.

Selain itu katanya, ia juga akan menambah pilihan baharu kepada orang ramai yang ingin melanggan produk-produk perwarisan seperti wasiat, hibah dan ipusaka.

“Saya difahamkan bahawa RTB adalah syarikat pertama menjalankan perniagaan perwarisan secara digital sepenuhnya.

“Medium perniagaan secara digital ini pastinya akan memudahkan pelanggan berurusan dari segi masa dan tenaga untuk mendapatkan maklumat dan melakukan urusan pentadbiran pusaka nanti,” katanya.

Ewon turut mencadangkan agar RTB dan syarikat-syarikat amanah yang lain dapat mencari kaedah terbaik untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai mengenai kepentingan membuat perancangan dan pentadbiran harta pusaka.

“Dengan membuat perancangan awal seperti wasiat atau hibah akan memudahkan urusan pentadbiran harta pusaka dikemudian hari dan mengelak daripada harta terbeku.

“Dalam hal ini, RTB boleh mengadakan seminar dengan agensi-agensi berkaitan bagi membincangkan kaedah terbaik menangani isu aset terbeku supaya isu perwarisan dapat diselesaikan secara efektif.

“Saya juga menyarankan RTB mengadakan bengkel atau seminar berkaitan perwarisan supaya koperasi-koperasi memahami produk perwarisan yang ditawarkan,” katanya.

Pada majlis itu Ewon turut menyaksikan penyerahan Memorandum Perjanjian (MOA) serta Memorandum Persefahaman (MoU) bersama koperasi-koperasi dan rakan-rakan strategik perniagaan RTB.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Suriani Ahmad, Penasihat RTB Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Rusli Jaafar.