FILIPINA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. mengisytiharkan darurat tenaga selama setahun susulan konflik Timur Tengah yang mengancam bekalan bahan api negara.
Mengikut laporan The Guardian, kerajaan memberi kuasa kepada pihak berkuasa tenaga untuk bertindak terhadap penyorokan dan manipulasi harga, selain mempercepat perolehan bekalan.
Filipina juga sedang memohon kelonggaran daripada Amerika Syarikat bagi mendapatkan minyak dari negara yang dikenakan sekatan seperti Iran dan Venezuela.
Setakat ini, negara itu hanya mempunyai kira-kira 45 hari bekalan bahan api dan berusaha menambah stok sebanyak satu juta tong minyak.
Pada masa sama, kerajaan bersiap sedia memindahkan rakyat Filipina di Timur Tengah jika keadaan semakin buruk.
Bagi mengekang kenaikan kos elektrik, Filipina akan meningkatkan penggunaan arang batu secara sementara, termasuk menambah import dari Indonesia.
Langkah bantuan seperti subsidi bahan api, bantuan tunai dan pengangkutan awam percuma turut diperkenalkan.
Filipina yang sangat bergantung kepada import tenaga kini berdepan tekanan besar, walaupun penemuan baharu gas asli berhampiran medan Malampaya memberi sedikit harapan untuk jangka panjang.






