G57 Gesa SPRM Siasat Kes Pemimpin UMNO Sabah Didakwa Terima Komisen Jutaan...

G57 Gesa SPRM Siasat Kes Pemimpin UMNO Sabah Didakwa Terima Komisen Jutaan Ringgit

0
SHARE
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar...

PUTRAJAYA – Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap seorang pemimpin UMNO Sabah yang didakwa menerima komisen berjuta-juta ringgit menerusi satu projek hospital awam di negeri Sabah.

Zulkarnain yang juga merupakan bekas aktivis politik UMNO berkata, siasatan diperlukan untuk mengesahkan dakwaan yang dibuat berhubung projek tersebut dan dakwaan itu juga sudah pun tular di media sosial selama lebih kurang satu minggu.

“Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini menyatakan komitmennya untuk menyiasat semua aduan di platform seperti Facebook dan TikTok berkaitan rasuah. Itulah sebabnya kami berada di sini hari ini untuk membuat laporan.

“KITA meminta SPRM menyiasat sama ada dakwaan (berkaitan projek hospital awam) itu benar…

“Jika ada, maka tindakan mesti diambil kerana orang ramai berhak tahu,” katanya kepada media selepas membuat laporan di ibu pejabat SPRM di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemimpin UMNO Sabah yang terbabit dalam perkara itu juga perlu menyatakan penafian dan membuat laporan polis jika dakwaan itu tidak benar bagi mengelak isu itu menjadi kontroversi berpanjangan.

“Saya percaya isu ini sudah berlegar lebih seminggu, namun sehingga kini tiada sebarang kenyataan dibuat oleh pimpinan UMNO Sabah…

“Tiada seorang pun yang tampil untuk menafikan tuduhan serius ini,” tekannya.

Zulkarnain pada masa sama turut menegaskan bahawa tindakan melaporkan isu itu kepada SPRM bukan bertujuan untuk mencemarkan nama baik mana-mana pemimpin UMNO, sebaliknya mencari keadilan dan kebenaran dalam perkara itu.