KOTA KINABALU, SABAH – Acara petanque menjadi penyumbang emas terbanyak kontinjen Pitas pada Sukan Sabah Edisi Ke-10 (SAGA X).
Memasuki hari terakhir SAGA X, kontinjen Pitas memungut emas ketiga dan keempat menerusi acara petanque kategori single lelaki serta wanita.
Bagi acara petanque single lelaki, peserta Pitas iaitu Aeronnick Johan Vun muncul juara menewaskan wakil Tawau, Muhamad Waez Shahed dengan 13-5 sementara Mohd Faiz Fahmi Masaudin (Kudat) menerima gangsa.
Manakala single wanita diungguli Jasilah Majunting (Pitas) mengalahkan Atierah Ramli (Tuaran) dengan 13-6 di peringkat akhir sementara Alesya Syahirah Abu Bakar (Putatan) mengutip gangsa.
Kategori beregu campuran pula emas milik Putatan yang diwakili Siti Nursuriya Japardin dan Mohd Azwan Mohd Azmi yang menang 13-3 ke atas pasangan Sandakan, Alvina Vanesa Francis dan Aldener Peter.
Sementara itu, beregu Papar, Sharif Muhammad Zakwan Suhaimi dan Vivianie Elcy Elip menerima gangsa.
Secara keseluruhan, Pitas mengumpul empat emas dengan tiga daripada diperoleh daripada sukan petanque. — JABATAN PENERANGAN SABAH