KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) ingin menawarkan khidmat guaman kepada warga emas yang ditahan pihak polis selepas insiden melanggar seorang pemandu lori dalam kejadian di Kajang baru-baru ini.
Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, kejadian tersebut yang turut tular di media sosial secara jelas telah menimbulkan keresahan awam di seluruh Malaysia.
Justeru itu katanya, G57 amat menghormati proses undang-undang di Malaysia dalam masa yang sama ingin membantu warga emas terbabit.
“Wujud kemungkinan tindakan panik atau diluar jangka menyebabkan pemandu warga emas itu secara tidak sengaja merempuh pemandu lori tersebut selepas kenderaan mereka ditahan secara tiba-tiba ditengah jalan oleh pemandu lori tersebut.
“Dalam pada itu G57 juga berharap agar semua pihak perlu menghormati proses undang-undang negara.
“G57 juga berpandangan perbuatan buli jalan raya mesti dihentikan dan sentiasa mengawal emosi terutama di dalam bulan ramadhan ini.
“Peguam Tuan Haji Boestamam akan membantu pasangan suami isteri ini dan berharap agar keluarga mereka segera menghubungi peguam ini di no telefon 016-6547090,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Dalam kejadian jumaat lalu sepasang suami isteri warga emas ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kemalangan dan cubaan membunuh yang berlaku di Bandar Teknologi Kajang pada 28 Februari lalu.
Suspek lelaki telah direman sehari, manakala permohonan reman isterinya ditolak. Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 279 Kanun Keseksaan.