SYRIA – Gempa bumi yang melanda bumi Syria dan Turkey baru-baru ini merakamkan detik menyayat hati semua masyarakat dunia melalui satu video tular seorang ayah melindungi anaknya dalam runtuhan bangunan akibat kejadiaan gempa berkenaan.
Menerusi video yang tular di media sosial ketika ini, pasukan mencari dan menyelamat tersentuh hati dengan keadaan seorang ayah dalam posisi duduk yang ditemui tidak bernyawa kekal melindungi anaknya dalam kejadian gempa itu.
Kelihatan juga tangan seorang kanak-kanak dipercayai anaknya dan apabila diperhatikan, bapa tersebut seperti sedang memangku anak tersebut.
Selain itu, satu lagi mayat kanak-kanak lelaki berkemungkinan anaknya, berada di sisi jasad lelaki tersebut serta dikeluarkan terlebih dahulu.
Kedengaran suara lelaki berbahasa Arab dipercayai perakam video yang tidak henti-henti menyebut ‘Allahuakbar (Allah Maha Besar)’ selain kedengaran anggota pasukan mengucap syahadah.
“Cedera, cedera (sambil menunjukkan jenazah si bapa). Yang ini bernafas wahai shabab (sambil meminta ahli pasukan mengambil kanak-kanak). Sikit-sikit lagi, hidup-hidup (masih hidup). Allahuakbar,” kata lelaki tersebut seperti yang dipetik Kosmo.
Sebaik kanak-kanak itu dikeluarkan, anggota pasukan dan orang ramai di situ terus bertakbir bersama-sama ‘Allahuakbar’.
VIDEO TULAR yang merakamkan jasad seoraang ayah yang tidak bernyawa melindungi anaknya yang masih hidup dikeluarkan dari runtuhan akibat gempa bumi di Syria.
Dalam pada itu, video tersebut turut membuatkan pengguna laman sosial sebak, malah menangis dengan situasi itu.
“Saya baru sahaja jadi ayah baru-baru ini. Saya menangis lihat video ini, kasih sayang seorang ayah tidak pernah diperkatakan atau dihargai. Dan sekarang saya pula jadi ayah, saya sedar sebanyak mana kasih sayang ayah saya kepada saya,” kata Sandeep Kumar.
“Saya ayah kepada tiga anak. Saya menangis melihat saat ini, Allahuakbar, Subhanallah,” kata Rizal Isanova.





