Guna Kapak Tetak Teman Lelaki Baharu Bekas Isteri

Guna Kapak Tetak Teman Lelaki Baharu Bekas Isteri

0
SHARE
Tetak
Tangkap layar video eorang lelaki ditetak dengan kapak di bulatan berhampiran Menara Kinabalu yang tular ( Sumber Foto: Tangkap layar video tular )

KOTA KINABALU, SABAH – Tular klip ngeri pemandu sebuah kenderaan Perodua Viva yang berparkir di bulatan berhampiran Menara Kinabalu ditetak menggunakan kapak.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata kejadian lebih kurang 9 malam Rabu lalu itu berlaku akibat perasaan cemburu.

Katanya, mangsa lelaki berusia 37 tahun sedang makan bersama teman wanitanya berusia 30 tahun apabila diserang oleh tiga orang lelaki.

“Salah seorang lelaki tersebut telah menyerang mangsa dengan sebilah kapak mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka, tangan dan kaki.

“Mangsa dan teman wanitanya berjaya menyelamatkan diri dan menuju ke Balai Polis Alamesra.

“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth bagi mendapatkan rawatan,” katanya sambil menambah teman wanita tersebut tidak mengalami kecederaan.

Dalam video seminit dua puluh saat itu, kelihatan tingkap sisi dan hadapan kenderaan mangsa dipecahkan lelaki terlibat.

Turut kedengaran perakam menghasut pelaku untuk membunuh mangsa dalam bahasa Tausug.

Difahamkan wanita dan suspek bercerai sebulan yang lalu selepas mengenali mangsa sejak enam bulan lalu dan menjalinkan hubungan kekasih dua minggu lalu.

Zaidi berkata pihaknya sedang memburu ketiga-tiga suspek yang mana dua telah dikenal pasti sebagai adik-beradik berbangsa Suluk, Winhal Jalali, 37, dan Abdel Jalali, 27.

Jelasnya, Winhal merupakan bekas suami kepada teman wanita mangsa manakala seorang lagi yang belum dikenal pasti ialah rakannya.

Tetak
Suspek kes tetak di bulatan berhampiran Menara Kinabalu ( Sumber Foto: Ihsan IPD Kota Kinabalu )
Tetak
Suspek kes tetak di bulatan berhampiran Menara Kinabalu ( Sumber Foto: Ihsan IPD Kota Kinabalu )

“Pihak polis meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Insp. Muhammad Khaidir Zakaria di talian 014-8019618,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dengan sengaja menyebabman cedera parah dengan menggunakan senjata.