KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan suaminya, Ramachandran Muniandy dilaporkan bercerai selepas 18 tahun mendirikan rumah tangga.
Memetik laporan Malay Mail, laman web rasmi Yeoh menyatakan beliau berkahwin dengan Ramachandran pada 2008, tidak lama sebelum menceburi arena politik dan bertanding dalam pilihan raya.
Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, Shay dan Kayleigh, masing-masing dilahirkan pada 2011 dan 2013.
Menurut maklumat yang dipaparkan di laman web berkenaan, Yeoh dan Ramachandran bercerai pada 2026 selepas 18 tahun berkahwin.
Yeoh ketika ini merupakan Ahli Parlimen Segambut, kerusi yang dimenanginya buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum 2018.
Sebelum itu, beliau berkhidmat selama dua penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya dari 2008 hingga 2018.
Pada 2013, Yeoh mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama dipilih sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor.
Beliau kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2018 dan berkhidmat sehingga 2020, sebelum dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan dari 2022 hingga 2025.
Pada Disember 2025, Yeoh dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Dalam DAP, Yeoh kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha Agung dan Naib Pengerusi parti, selain menjadi ahli jawatankuasa DAP Wanita.






