LONDON: Pasukan perubatan di China berjaya melakukan pemindahan hati babi ubah genetik ke dalam tubuh manusia buat kali pertama di dunia.
Pesakit lelaki berusia 71 tahun itu hidup hampir enam bulan selepas pembedahan, walaupun hati asalnya rosak teruk akibat jangkitan hepatitis B dan kanser hati.
Kajian yang diterbitkan dalam Journal of Hepatology mendapati hati babi ubah genetik mampu menyokong fungsi metabolik dan sintetik utama manusia.
Namun, pesakit meninggal dunia 171 hari kemudian akibat komplikasi berkaitan pemindahan.
Pakar menyifatkan kejayaan ini sebagai langkah penting dalam bidang hepatologi, membuka potensi baharu bagi rawatan kegagalan hati, walaupun cabaran biologi dan etika masih perlu diatasi.
Pemindahan itu menggunakan hati daripada babi miniatur Diannan yang telah diubah suai genetik bagi meningkatkan keserasian organ dengan tubuh manusia.
Hati tersebut berfungsi dengan baik pada bulan pertama sebelum komplikasi dikenali sebagai xenotransplantation-associated thrombotic microangiopathy (xTMA) berlaku, memaksa doktor mengeluarkannya pada hari ke-38.
Ketua penyelidik, Dr Beicheng Sun dari Hospital Universiti Perubatan Anhui, berkata kejayaan ini membuktikan organ babi ubah genetik boleh berfungsi dalam tubuh manusia untuk tempoh yang panjang, tetapi isu pembekuan darah dan tindak balas imun masih menjadi cabaran utama.
Menurut pakar hepatologi antarabangsa, laporan ini menandakan permulaan era baharu dalam bidang pemindahan organ, dengan teknologi penyuntingan gen dan kawalan imun kini menunjukkan potensi besar bagi mengatasi kekurangan organ penderma manusia.