IBADAH KORBAN SEMAI SIKAP PEDULI: KM HAJIJI

IBADAH KORBAN SEMAI SIKAP PEDULI: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Hajiji ketika ditemui media ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

TUARAN, SABAH – Ibadah korban menyemai sikap peduli umat Islam terhadap golongan yang kurang berkemampuan.

Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, sikap itu juga kemudiannya dizahirkan menerusi amalan bersedekah kepada golongan asnaf serta fakir miskin.

“Dengan semangat Hari Raya Aidiladha, kita merasakan ia memberikan suatu keinsafan kepada kita bukan sahaja untuk mencari keredhaan Allah SWT tetapi juga semangat ibadah korban menjadi satu pengajaran untuk kita peduli kepada mereka yang kurang berkemampuan.

“Selepas ini, umat Islam akan mengadakan korban mereka masing-masing, bagi mereka yang mempunyai niat untuk bersedekah mereka akan mengorbankan binatang sempena hari raya aidiladha ini.

“Tetapi yang penting ialah semangat kepedulian kepada masyarakat yang kurang berkemampuan adalah sesuatu yang menjadi ajaran sempena kita menyambut Aidiladha ini,” katanya ketika ditemui media dalam Majlis Korban Sempena Aidiladha di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, hari ini.

Mengiringi Hajiji ialah Ahli Parlimen, Datuk Wilfred Madius Tangau, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai, Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn. Bhd., Datuk Jasnih Daya, Pengarah JAKIM Sabah, Datuk Norjeli Dais dan Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Abdul Kassim Razali.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tuaran, Suprintenden Noraidin Awang Maidin berkata kesemua binatang korban terbabit disumbangkan oleh wakil-wakil rakyat di kawasan Tuaran dan merupakan acara tahunan.

“Bintang korban akan diberikan kepada golongan asnaf kesemuanya berjumlah enam ekor binatang termasuk seekor kerbau.

“Aktiviti sekarang adalah melapah di mana kita akan agihkan daging mengikut hukum Islam kepada semua warga IPD Tuaran dan juga golongan asnaf di sekitar daerah ini,” ujarnya yang mengetuai aktiviti melapah. — JABATAN PENERANGAN SABAH