Tenom Catat 191 Kes Wabak Cirit Birit

Tenom Catat 191 Kes Wabak Cirit Birit

0
SHARE
Jkns
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr Asits Sanna ( Sumber Foto: Gambar carian Google )

KOTA KINABALU, SABAH – Tenom mencatat sebanyak 191 kes Gastroenteritis Akut (AGE) ataupun wabak cirit birit sejak tarikh mula gejala dilaporkan di antara 2 sehingga 13 Jun ini.

Pengarah JKNS, Datuk Dr Asits Sanna berkata, survelan mendapati kes mula meningkat pada 4 Jun lalu notis wabak diberikan dua hari kemudian.

“Sebanyak 154 kes telah menerima rawatan sebagai pesakit luar, manakala 37 orang lagi dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Sebanyak 33 kes telah pun discaj dan hanya empat empat kes yang masih berada di dalam wad dan berada dalam keadaan stabil,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, dari 19 sampel klinikal yang telah diambil daripada kes-kes yang dimasukkan ke wad Hospital Tenom, 16 sampel menunjukkan kehadiran Rotavirus.

“Punca jangkitan disyaki daripada pengambilan air yang tercemar. Sampel persekitaran telah diambil bagi tujuan mengesan punca kejadian.

“Pihak Jabatan Bekalan Air Sabah juga telah dimaklumkan untuk memantau pengklorinan air terawat di daerah tersebut.

“Walau bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih di dalam siasatan,” katanya.

Jangkitan Rotavirus merupakan jangkitan usus yang biasa berlaku pada kanak-kanak.

Gejala-gejala adalah cirit-birit, muntah, dan demam yang boleh menyebabkan kekurangan air dalam badan atau dehidrasi.

Sekiranya rawatan lanjut tidak diberikan dengan segera, ianya boleh membawa maut.

Rotavirus boleh ditularkan melalui air atau makanan yang tercemar serta kontak secara langsung dari najis ke mulut.

Ia juga boleh merebak secara kontak ke mulut melalui tangan, alat permainan atau permukaan tercemar.

“Sebagai pencegahan, JKNS menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan kerap mencuci tangan.

“Masak makanan dengan cara yang betul dan dimasak dengan sempurna, simpan makanan pada suhu yang sesuai dan di tempat yang bersih.

“Gunakan air yang selamat dan bersih serta minum air yang telah dimasak. Segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala cirit-birit.

“JKNS dengan kerjasama PKD Tenom akan terus memantau situasi kejadian kes AGE di semua fasiliti kesihatan di daerah Tenom,” katanya.