Kedai Emas Dirompak Pada Sambutan Aidiladha

Kedai Emas Dirompak Pada Sambutan Aidiladha

0
SHARE
Tangkap layar (screenshot) video tular kes rompakan kedai emas dalam komplek membeli-belah di Kajang...(Sumber Gambar: Facebook)

KAJANG – Hampir semua barangan emas di sebuah kedai emas dalam kompleks membeli-belah di sini dilarikan empat lelaki bersenjata api yang dilihat berpakaian seakan-akan pengawal keselamatan, menurut saksi insiden rompakan kedai emas berkenaan pada petang sambutan Aidiladha semalam.

Saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Nieza, 33, berkata kejadian berlaku pantas dan bermula dengan bunyi letupan dipercayai tembakan senjata api.

“Keadaan bertukar panik selepas bunyi tembakan itu lalu saya dan rakan sekerja segera keluar meninggalkan kedai untuk menyelamatkan diri…

“Ketika itu, kami nampak empat lelaki bertopeng sedang memecahkan cermin pameran barang kemas di kedai emas berkenaan yang terletak tidak jauh dari kedai kami,” katanya ketika ditemui Berita Harian di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Muhamad Nasir Drahman berkata, mereka kemudian masuk ke premis tersebut, memecahkan cermin kaca simpanan emas menggunakan tukul besi dan mengambil emas tersebut.

Menurutnya, semasa kejadian, suspek dipercayai membawa dua pucuk pistol dan satu laras senapang ke dalam premis berkenaan.

“Suspek telah melepaskan satu das tembakan ke arah dinding premis, sebelum melarikan diri melalui tempat letak kenderaan di bawah bangunan.

“Jumlah kerugian masih dalam siasatan dan belum dapat disahkan.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam bangunan dan beberapa orang saksi kejadian bagi membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Saksi berkata, mereka (perompak) memasuki ke premis tersebut lalu memecahkan cermin kaca simpanan emas menggunakan tukul besi dan mengambil emas tersebut…(Sumber Gambar: Facebook)

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati walaupun tidak melibatkan kecederaan mahupun kematian.

“Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat berkait kejadian tersebut, boleh berhubung dengan mana-mana balai yang berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes,” katanya.