Tiada Perubahan Ke Atas Masa Operasi Pasar Besar Kota Kinabalu

Tiada Perubahan Ke Atas Masa Operasi Pasar Besar Kota Kinabalu

0
SHARE

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memaklumkan bahawa tiada perubahan ke atas masa operasi Pasar Besar Kota Kinabalu yang mana operasi bermula jam 5.30 pagi sehingga 6 petang diteruskan seperti biasa.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, operasi berkenaan adalah seperti yang telah diperuntukkan di bawah Undang-undang Kecil (Pasar) Bandaraya Kota Kinabalu, 1966. 

“Merujuk kepada Undang-undang Kecil (Pasar) Bandaraya Kota Kinabalu, 1966, masa yang ditetapkan untuk perniagaan pasar dibuka kepada orang awam adalah pada jam 5.30 pagi.

“Bagaimanapun, para peniaga akan diberi laluan untuk membuat persediaan gerai masing-masing bermula jam 5 pagi dan bersedia untuk dikunjungi oleh orang awam bermula jam 5.30 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad lalu.

Beliau berkata, pematuhan masa pembukaan dan penutupan pasar ini adalah penting bagi memastikan proses pengoperasian pasar berjalan dengan lancar, terkawal dan teratur.

Katanya, DBKK ingin menyatakan penjelasan bahawa tiada peraturan baharu dibuat ke atas masa operasi pasar.

“DBKK turut mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan kepada orang awam agar sentiasa menjaga keselamatan diri semasa membeli-belah di musim perayaan dan sentiasa menjaga kebersihan serta kesejahteraan persekitaran Bandaraya Kota Kinabalu,” katanya.