Imbasan Cap Jari Perlu Untuk Beli Kad SIM Telefon

Imbasan Cap Jari Perlu Untuk Beli Kad SIM Telefon

0
SHARE

BANGKOK – Kerajaan Thailand menguatkuasakan arahan penggunaan imbasan cap jari untuk membeli kad SIM telefon bimbit bagi mengekang penipuan elektronik dan menggalakkan penggunaan perbankan mudah alih.

Memetik laporan Harian Metro, sistem biometrik baru itu yang turut digunakan di Bangladesh, Arab Saudi dan Pakistan akan berkuat kuasa mulai 15 Disember depan.

“Kita sedang memasuki era digital, dengan wang anda kini akan dipautkan pada perkhidmatan mudah alih.

“Dengan itu, kepercayaan terhadap perbankan mudah alih atau sistem pembayaran akan bertambah baik.

“Ada orang menggunakan identiti palsu untuk mendaftarkan kad SIM mereka, menyebabkan masalah timbul,” kata Setiausaha Agung Pejabat Suruhanjaya Penyiaran dan Telekomunikasi Negara (NBTC), Takorn Tantasith.

Takorn juga memberi jaminan kepada pengguna bahawa data peribadi mereka akan dilindungi.

Menurutnya, imbasan wajah dan cap jari akan dipadankan dengan data kerajaan seterusnya dipautkan pada kad pengenalan pengguna.

Pelancong yang datang ke negara itu turut dikehendaki membuat imbasan wajah pada gambar pasport mereka.

Thailand sebelum ini membuat ujian peraturan itu di wilayah selatan yang bergolak di mana kumpulan pemisah menggunakan telefon bimbit untuk meletupkan bom.

“Selepas ujian di kawasan paling menjadi perhatian dalam negara, penduduk sukakannya terutama pegawai keselamatan,” kata Timbalan Setiausaha Agung, NBTC, Korkij Danchaivichit.

Kelemahan pasaran kad SIM Thailand terserlah pada Jun lalu apabila polis menahan tiga lelaki warga China yang membeli hampir 400,000 kad SIM untuk operasi ‘kilang like’.

Suspek memberitahu, mereka dibayar syarikat dari China untuk meningkatkan jumlah ‘like’ untuk beberapa produk dan akaun media sosial melalui beratus telefon pintar yang disambung pada komputer.