SANDAKAN, SABAH – Seramai 55 pendatang asing tanpa izin warganegara Filipina ditahan dalam Ops Sapu dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah pada Rabu.
Operasi yang bermula 1.10 pagi memfokuskan kawasan rumah pekerja di Batu 19, Sungai Tiram, sini.
Pengarah JIM Sabah, Sh Sitti Saleha Habib Yussoff berkata 88 orang telah diperiksa.
“Orang yang ditahan terdiri daripada 19 lelaki dewasa, 10 Kanak-kanak lelaki, 13 perempuan dewasa dan 13 kanak-kanak perempuan…
“Kesemua PATI yang ditahan adalah disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan berumur diantara 4 bulan sehingga 52 tahun.
“Semasa serbuan dilakukan kesemua orang kena tahan (OKT) sedang tidur di rumah kongsi pekerja,” katanya.
“Turut ditahan semasa serbuan adalah seorang Lelaki warganegara Malaysia berumur 48 tahun, disyaki sebagai majikan dan akan disiasat di bawah seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana mengambil pekerja orang asing yang tidak memiliki pas yang sah di bawah Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 serta turut disyaki membenarkan imigran haram untuk masuk dan berada di permis tersebut.
“Operasi-operasi di permis seperti ini akan dipergiat dan diteruskan oleh JIM Sabah untuk membanteras PATI, khususnya yang disyaki dalam penggajian warga asing tanpa pas dan permit yang sah.
“JIM Sabah akan terus komited dalam usaha untuk memberantas dan mencegah kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di Negeri Sabah serta memberi amaran kepada orang Awam khususnya majikan agar mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan Imigresen yang berkuasa,” katanya.
Tambahnya, operasi diketuai oleh Timbalan Penolong Pengarah Kanan (TPPK) Mohammad Ajman Ajmin bersama 54 orang Pegawai Imigresen daripada Sandakan, Kota Kinabalu dan Tawau.







