KOTA BELUD, SABAH – Pihak polis menasihati individu yang telah mengambil dua dos suntikan vaksin COVID-19 agar mereka tidak keluar rumah tanpa tujuan penting.
Timbalan Pesurujaya Polis Sabah Datuk Mazli Mazlan berkata meskipun telah mendapatkan vaksinasi lengkap orang ramai masih boleh dijangkiti.
“Ia juga boleh menyebabkan lebih ramai individu yang berisiko tinggi terdedah kepada virus berbahaya itu…
“Masyarakat perlulah lebih berhati-hati kerana anda masih boleh menjadi pembawa dan menjangkiti individu lain yang belum menerima vaksin ini,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa wabak COVID-19 masih ada dalam komuniti kita yang belum mencapai imuniti kelompok.
Katanya selain daripada divaksin, pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) mampu mengurangkan kes jangkitan di Sabah.
Dalam pada itu, Mazlu menegaskan kepada penduduk kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk tidak melarikan diri sebaik arahan itu diumumkan.
“Jangan pentingkan diri sendiri dengan berbuat sedemikian yang juga boleh menyebabkan lebih ramai kawasan dijangkiti seterusnya menambah lagi kes dan kawasan PKPD…
“Perbuatan itu juga membawa padah kepada diri sendiri dan tindakan tegas akan dikenakan berdasarkan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit,” jelasnya.

Mazli menggesa penduduk yang tinggal di kawasan PKPD untuk kekal setelah tamat tempoh arahan tersebut.
“Pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengenakan kompaun serta membuat tangkapan…
“Tiada kompromi dengan mana-mana individu yang mengingkari arahan ini,” katanya lagi ketika ditemui wartawan semasa Program Op Bantu kepada penduduk Kampung Lahanas di Kota Belud.





