Interaksi Dengan Para Pelajar IPT – Johari

Interaksi Dengan Para Pelajar IPT – Johari

0
SHARE
Kadzim
Johari (kanan) dan Kadzim ketika bercakap kepada media ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Semua Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) digesa mengadakan interaksi dengan para pelajar di institusi-institusi pengajian tinggi.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata gesaan itu merupakan salah satu solusi daripada Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Speaker-speaker DUN yang berlangsung di Kuching, Sarawak baru-baru ini, bagi menggalakkan golongan pelajar mengenali peranan dan fungsi DUN dalam usaha merakyatkan institusi perundangan terbabit.

“Kita cuba untuk memberikan nafas baharu untuk posisi ataupun jawatan speaker itu sendiri dengan mengambil kira perkembangan terbaharu.

“Apabila rakyat menuntut agar Dewan-dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat itu dirakyatkan meaning to say rakyat nak tahu apa yang berlaku dalam dewan dan mereka juga ingin mengambil peranan yang aktif dalam kewujudan dewan itu sendiri.

“Kita juga bersetuju untuk speaker-speaker melapangkan sedikit masa mereka melawat Institusi-institusi Pengajian Tinggi ataupun menerima pelajar-pelajar IPT supaya interaksi di antara anak-muda muda ini yang akan menjadi pemimpin kita pada masa depan dengan institusi speaker ini terjalin.

“Insha Allah, mereka akan melihat institusi ini sebagai salah satu tempat mereka belajar.

“Seperti YB Speaker Sabah yang mempunyai pengalaman luas, sebagai seorang pengamal undang-undang, sebagai seorang senator yang lama dan sekarang ini Speaker.

“Jadi, semua pengalaman ini saya kira perlu dikongsi bersama dengan para pelajar dan kita mengharapkan mereka juga akan menjadi pemimpin yang baik pada masa depan,” ujar beliau.

Johari ditemui media selepas mengadakan lawatan ke DUN Sabah dalam siri jelajah Speaker Dewan Rakyat ke DUN seluruh negara, pada Selasa.

Mengulas lanjut ujar Johari, lawatan tersebut antara lain bertujuan untuk berkongsi idea, pengalaman dan ilmu pengetahuan dengan DUN Sabah.

“Di samping itu, ada juga perkongsian maklumat dan ilmu. ada negeri-negeri yang jauh lebih advance.

“Saya lihat di Sabah ini bagaimana komputer dan tablet yang dibekalkan kepada ahli-ahli dewan itu jauh lebih baik daripada negeri-negeri2 lain termasuk di Parlimen juga.

“Jadi, Parlimen sudah tentu belajar daripada kecanggihan yang ada di Sabah dan inilah cara-cara kita bekerja supaya akhirnya matlamat yang kita capai satu, bagaimana pengalaman dan ilmu yang kita gemblengkan ini utk mencapai tujuan yang sama iaitu memberikan khidmat yang terbaik untuk rakyat,” dedah beliau.

Dalam lawatan tersebut, Johari diiringi Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya dan Timbalannya, Datuk Richard Yong Ke Wong serta Setiausaha, Rafidah Maqbool Rahman meninjau dewan persidangan termasuk kemudahan serta peralatan yang digunakan semasa bersidang. — JABATAN PENERANGAN SABAH