KOTA MARUDU, SABAH – Projek kemahiran jahitan mampu menjana pendapatan golongan wanita B40 di samping meningkatkan taraf hidup.
Ketua Operasi Hibiscus Petroleum Sabah, Edmund Ang bekata, program selama setahun itu melibatkan 20 peserta terpilih dari Daerah Kudat dan Kota Marudu.
“Projek selama setahun ini merupakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Syarikat Hibiscus Petroleum Berhad dengan kerjasama Sedcovest Holdings Sdn Bhd (Sedcovest).
“Ia bertujuan untuk membantu meningkatkan pendapatan komuniti setempat melalui latihan kemahiran jahitan.
“Melalui projek ini para peserta berpeluang untuk memulakan perniagaan sendiri dan menjana pendapatan bagi memperbaiki taraf hidup ke arah yang lebih baik,” ujar beliau.
Menurut beliau, Sedcovest juga menyambut baik sinergi bersama entities korporat seumpama yang membolehkannya mengembangkan peranan sosio-ekonomi khususnya di kawasan-kawasan di negeri ini yang amat memerlukan perhatian dan sokongan.
“Program ini akan dimulakan dengan kursus kemahiran selama lima hari yang turut menyelitkan modul asas simpan kira, pemasaran digital dan perancangan perniagaan.
“Ia akan disusuli beberapa siri pemantauan secara berkala, bimbingan dan penilaian kemajuan peserta.
“Satu majlis penutupan akan diadakan pada penghujung program kelak di mana hadiah pengiktirafan akan diberikan kepada peserta yang menunjukkan prestasi cemerlang,” katanya kepada media selepas melancarkan Projek Pembinaan Keupayaan Kemahiran Jahitan, di sini.
Dalam majlis sama, berlangsung acara pemeteraian memorandum kerjasama di antara Hibiscus Petroleum dan Sedcovest yang masing-masing diwakili oleh Edmund dan Pengurus Besar Sedcovest, Abd Rahim Md Zain, disusuli dengan upacara Lafaz Ikrar Aku Janji oleh 20 orang peserta terbabit.
Turut hadir ialah Penasihat Perhubungan Komuniti dan Kerajaan Hibiscus Petroleum, Datuk Eddie Abdullah dan para pegawai Sedcovest. — JABATAN PENERANGAN SABAH