KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui sidang media khas bersama Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini menggariskan beberapa sekatan yang ketat sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19 dalam negara.
Antara intipati yang telah diputuskan kerajaan melalui sidang media hari ini ialah;
1. DUA strategi diperkenalkan mengurangkan pergerakan orang ramai dalam PKP 3.0.;
a. Mengurangkan jumlah mereka yang bekerja di pejabat kerajaan/swasta.
b. Mengehadkan masa operasi sektor ekonomi.
2. 80 peratus kakitangan kerajaan akan bekerja dari rumah, membabitkan 750,000 pekerja. (Perincian akan diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara);
3. 40 peratus pekerja swasta akan bekerja dari rumah, membabitkan 6.1 juta pekerja. (Perincian akan diumumkan oleh MITI);
4. Pengangkutan awam dihadkan 50 peratus kapasiti penumpang, kekerapan juga akan dikurangkan;
5. Operasi perniagaan dihadkan dari pukul 8 pagi sehingga 8 malam sahaja KECUALI farmasi sehingga jam 10 malam;
6. Pemakaian pelitup muka dua lapis (3 ply face mask) akan lebih berkesan, menapis 95 peratus virus terutama di tempat-tempat awam berisiko tinggi;
7. Pemakaian niqab atau ‘face shield’ tanpa memakai pelitup muka adalah satu kesalahan di bawah Akta 342;
8. Kerajaan sekali lagi jelaskan, tindakan tidak melaksanakan PKP penuh adalah demi kepentingan kesihatan dan kelangsungan hidup rakyat;
9. Jika syarikat diarah tutup, mereka mungkin gulung tikar sekaligus menyaksikan pekerja hilang pekerjaan dan tiada punca pendapatan;
10. Rakyat dirayu laksanakan amalan PKP kendiri untuk tempoh dua minggu bagi memutuskan rangkaian COVID-19 supaya hospital-hospital boleh menampung pesakit pada masa akan datang.