Isu Pampasan Gereja Kalvari Karismatik Tenom Akan Dipercepat – Jamawi

Isu Pampasan Gereja Kalvari Karismatik Tenom Akan Dipercepat – Jamawi

0
SHARE

TENOM: Proses pampasan dan rundingan harga melibatkan Gereja Kalvari Karismatik Tenom yang terjejas akibat pelaksanaan projek tebatan banjir akan dipercepatkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata perkara itu akan diberi perhatian serius bagi memastikan kebajikan pengurusan gereja serta penganutnya terus terpelihara, tanpa menjejaskan kelancaran projek pembangunan awam.

Menurut beliau, pengurusan gereja memaklumkan bahawa sehingga kini mereka belum menerima sebarang pampasan walaupun kawasan berkenaan terletak dalam jajaran projek tebatan banjir yang sedang dan akan dibina oleh kontraktor di bawah seliaan JPS.

“Pihak gereja meminta agar proses pampasan dan rundingan harga dipercepatkan serta ditawarkan pada kadar yang lebih munasabah dan selaras dengan nilai semasa,” katanya selepas meninjau kawasan gereja berkenaan, di sini, baru-baru ini.

Jamawi berkata jurunilai kerajaan telah menjalankan penilaian ke atas kawasan terlibat, namun pihak gereja berpandangan nilai yang ditawarkan masih tidak mencukupi dan telah melantik jurunilai swasta bagi mendapatkan penilaian alternatif.

“Saya berharap laporan penilaian jurunilai swasta dapat diserahkan segera supaya rundingan harga dapat dimuktamadkan sebaik mungkin,” katanya, sambil menegaskan pemuktamadan pampasan penting bagi membolehkan pihak gereja merancang pemindahan dan pembinaan rumah ibadat baharu.

Beliau menjelaskan kawasan tanah berkenaan telah diwartakan sejak 2022 bagi tujuan projek tebatan banjir dan sebarang perubahan pewartaan akan mengambil masa panjang serta melibatkan prosedur Dewan Undangan Negeri.

“Kerajaan Negeri komited memastikan pembangunan berjalan lancar tanpa menjejaskan keharmonian masyarakat dan hak institusi keagamaan,” katanya.

Turut hadir Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Melalap, Denesly Justin serta kepimpinan Gereja Kalvari Karismatik Tenom.