KOTA KINABALU, SABAH – Wakil rakyat Usukan, Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Tun Said Keruak menyeru orang ramai baik pihak Pembangkang agar isu vaksinasi tidak dipolitikkan.
Katanya Kerajaan Negara telah berusaha sebaik mungkin bagi memastikan seluruh rakyat Malaysia mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini.
“Ini bukanlah soal mencari nama atau populariti semata, sebaliknya kita mahu menyelamatkan rakyat dan negara…
“Kita masih belum menang tapi hampir pasti akan menang sekiranya semua pihak bersatu hati dalam perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Salleh juga menekankan bahawa data COVID-19 negara yang terkini kian memburuk justeru semua perhatian tertumpu pada usaha mendapatkan immuniti berkelompok melalui program vaksinasi kebangsaan.
“Semalam jumlah pesakit COVID-19 yang dirawat di ICU mencapai jumlah paling tinggi dengan 903 kes, ini menjadikan jumlah pesakit yang dirawat di ICU semakin bertambah walaupun kes jangkitan baharu menurun.
“Manakala pesakit yang memerlukan bantuan alat pernafasan di ICU juga meningkat kepada 458 orang, sekali gus angka tertinggi setakat ini.

“Ramai sudah berbicara soal perlaksanan vaksin kerajaan yang dilihat agak perlahan. Oleh kerana itu, banyak pandangan dan saranan yang diutarakan baik dari rakyat mahu pun pemimpin tanpa mengira fahaman politik.
“Saya beranggapan situasi ini adalah petanda baik di mana semua idea yang disalurkan akan membantu kerajaan melincinkan lagi program yang dirancang…
“Saya juga berharap kerajaan akan bersikap lebih terbuka dengan mengambil kira pandangan yang disuarakan dan mencari kaedah terbaik untuk mempercepatkan perlaksanaanya.
“Jangan segan untuk mencontohi kaedah yang dilaksanakan di negara lain kalau ia terbukti berkesan dan cepat seperti yang berlaku di Eropah, China dan negara rantau Asia,” katanya.
Beliau berpendapat mentaliti rakyat tetap harus dipersiapkan dalam usaha mencapai Sasaran Imuniti Kelompok (80% populasi divaksinasi).
Salleh mencadangkan kempen, penyebaran risalah atau hebahan mengenai kebaikan dan perlunya vaksin dalam usaha mengekang COVID-19 perlu dipergiatkan lagi oleh kerajaan.
“Kerjasama mungkin boleh dilakukan dengan media arus perdana atau melalui “top influencer”…
“Kita harus lebih giat dalam memerangi mereka yang anti vaksin ini dan perlu mempelbagaikan lagi pedekatan yang digunakan agar mesej yang dibawa sampai pada golongan sasaran.
“Seiring dengan ini, tenaga kerja perlu ditingkatkan bagi sama menaikkan jumlah pendaftaran untuk mendapatkan vaksin.
“Mereka perlu bergerak ke kawasan tumpuan sperti hospital atau pusat saringan terutamanya di kawasan pedalaman bagi memastikan mereka yang layak dapat didaftarkan.
“Selain itu, kerajaan perlu memikirkan kaedah yang mudah untuk rakyat mendaftar dan tidak hanya tertumpu pada secara talian (online) sahaja, ini kerana tidak semua orang celik IT atau mendapat akses internet terutama warga emas yang tinggal di kawasan pedalaman.
“Mungkin pendaftaran secara dari rumah ke rumah seperti kaedah banci berkesan atau vaksinasi boleh dijalankan secara mobil dari kawasan ke kawasan tanpa perlu temujanji atau pendaftaran,” kata bekas Ketua Menteri Sabah itu.
Salleh yakin bagi memastikan program vaksinasi bejalan lancar, bekalan vaksin juga haruslah mencukupi.
“Saya memahami kerajaan mengalami masalah dari segi mendapatkan bekalan mencukupi akibat dari dominasi negara kaya dalam pembelian terutamanya bagi vaksin yang popular seperti Pfizer…

“Namun saya berpendapat kerajaan perlu seimbangkan portfolio vaksin untuk kita memasukkan vaksin jenama lain seperti AstraZeneca dan juga daripada bukan negara Barat seperti Sinovac dari China.
“Saya percaya rakyat tidak kisah akan jenamanya asal mendapat kelulusan pihak berwajib dan terbukti selamat…






