Jangan Leka Dengan Bekalan Ikan Mencukupi – Jeffrey

Jangan Leka Dengan Bekalan Ikan Mencukupi – Jeffrey

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah satu-satu Negeri di Malaysia yang kekal sumber bekalan ikan mencukupi dari segi keperluan penduduk yang melebihi 100 peratus tahap sara diri (SSL).

Negeri ini juga berupaya mengeksport lebihan sumber ikan yang diternak atau ditangkap keluar negara yang membantu pendapatan Negeri dan Negara dan mengimbangi dagangan luar.

Sungguhpun demikian, Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan memohon Jabatan Perikanan Sabah tidak selesa sehingga leka dengan keadaan ini.

“Bangunkan sektor perikanan agar lebih maju dan lindungi sumber perikanan negeri agar terus lestari dan sentiasa bersedia menangani cabaran masa kini dan hadapan untuk keselamatan makanan negara,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan Perikanan Sabah Tahun 2022 di Hotel Le Meridien sini, pagi tadi. Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap II kementerian, Awang Dzulkernain Awang Hassan.

Sabah sememangnya terkenal dengan makanan laut malah menjadi antara pengeksport terbesar ikan-ikan hidup, ikan segar beku dan juga udang putih dari hasil pengeluaran kolam negara.

Jeffrey berkata ianya salah satu daya tarikan pelancong di negeri ini ialah makanan laut yang segar dengan kepelbagaian spesies yang masih dianggap murah oleh pelancong dan pelbagai jenis ikan.

“Data perangkaan Jabatan pada tahun 2021 menunjukkan jumlah eksport komoditi perikanan Sabah sebanyak 40.5 tan metrik dengan nilai sebanyak RM581.51 juta dengn pasaran utama eksport ke Semenanjung Malaysia, China, Hong Kong dan Vietnam.  

“Perairan Sabah juga kaya dengan kepelbagaian batu karang (Coral) yang terindah dan menjadi tarikan untuk eko-pelancongan terutama sukan menyelam…

“Dianggarkan terdapat lebih kurang 550 spesies coral hidup dan ianya termasuklah di perairan kita terutama di Semporna,” katanya.

Perdagangan atau eksport coral propagasi dari Sabah mengikut statistik, meningkat setiap tahun. Pada tahun 2015 direkodkan sebanyak 44,572 unit coral telah dieksport dengan nilai RM290 ribu, telah meningkat hampir 7 kali ganda kepada 311,271 unit dengan nilai RM 2.6 juta.

“Industri perdagangan coral propagasi ini sangat berpotensi untuk di kembangkan pada masa hadapan…

“Secara prinsipnya Kementerian menyokong kearah ini walaupun kerajaan buat masa ini menghentikan sementara pengeluaran permit eksport bermula pada tahun 2019,” tambah beliau.

Dengan khazanah alam ini, Jabatan Perikanan juga turut mengambil inisiatif kearah penggunaan teknologi pendigitalan dengan mewujudkan bilik Operasi pemantauan aktiviti perikanan ditempatkan di ibu pejabat perikanan Wisma Pertanian.

Menurutnya, satu pusat MCS tetap bakal diwujudkan di Sepanggar, Kota Kinabalu agar kecekapan dan efisensi dalam mengurus para nelayan dan pengawalan eksploitasi sumber perikanan di persisiran pantai dapat dipertingkatkan.

“Intruder Intervention System Vessel Monitoring System (iiVMS) merupakan sejenis alat yang dipasang disetiap kapal nelayan bagi membolehkan Jabatan dapat memantau 24 jam pergerakan atau aktiviti operasi menangkap ikan kapal-kapal komersial perikanan. 

“Pemasangan iiVMS disetiap kapal telah dimulakan pada tahun 2019 dengan sasaran pemasangan kepada 1,437 buah kapal komersial. Setakat ini sebanyak 700 unit iiVMS telah pun berjaya dipasang,” jelasnya.