Janggal Ganti Beras Tempatan, Import Dengan Beras Madani – Ronald

Janggal Ganti Beras Tempatan, Import Dengan Beras Madani – Ronald

0
SHARE
Ronald
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee ( Sumber Foto: Ihsan Perikatan Nasional Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Pengumuman Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bahawa kerajaan akan menggantikan Beras Putih Tempatan (BPT) dan Beras Putih Import (BPI) dengan beras putih Malaysia Madani adalah satu pengumuman yang janggal dari segi pentadbiran kerajaan dan tidak mematuhi peruntukan undang-undang terutama melibatkan penguatkuasaan akta.

Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata janggal kerana secara lazimnya, suatu pasukan khas tidak membuat keputusan namun hanya memberi cadangan kepada jawatankuasa pemandu yang mana dalam hal ini NACCOL dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Jelas, katanya, bahawa Beras Putih Madani tidak mematuhi Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] yang menetapkan gred dan harga beras tempatan.

“Pada masa ini gred beras campuran yang dibenarkan adalah gred super tempatan (ST15) dengan kawalan harga RM1.65/kg hingga RM1.80/kg.

“Oleh itu mana-mana pemborong, pengilang dan peruncit yang menjual Beras Putih Madani melakukan kesalahan di bawah Akta ini.

“Pakar kos sara hidup Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin yang dilantik oleh Perdana Menteri harus mengetahui bahawa pengumumannya kini dijauhi oleh Menteri dan KSU (Ketua Setiausaha) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan kerana difahamkan kementerian tidak terlibat malah libat urus yang dibuat oleh Ahli Bukit Gantang juga dipercayai tidak menyeluruh,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Ronald yang juga Pengerusi Portfolio Pertanian dan Keterjaminan Makanan Perikatan Nasional berkata Kerajaan Madani perlu insaf bahawa masalah kehilangan BPT sejak September tahun lalu berpunca daripada keputusan kerajaan meluluskan permohonan BERNAS menaikkan harga runcit BPI sehingga RM3.60/kg tanpa mengambil kira harga runcit BPT yang masil kekal pada harga RM2.60/kg.

Menurutnya, perbezaan yang ketara ini telah mengundang manipulasi dan kehilangan BPT di pasaran tempatan.

Katanya saranan ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional pada sidang Parlimen yang lalu, yang menggesa kerajaan untuk mengkaji semula harga runcit beras pada RM2.60/kg dan harga lantai padi pada RM1,300/tan dengan niat untuk menyeleraskan dengan kenaikan harga runcit BPI perlu diberi perhatian oleh kerajaan.

“Tiba masanya, kerana harga runcit beras dan harga padi kali terakhir dikaji ialah pada 2008.

“Industri Padi Beras negara adalah suatu industri yang penting demi sekuriti makanan negara. Kerajaan sejak sekian lama telah meletakkan sasaran pengeluaran beras negara pada nisbah 70:30 iaitu 70 peratus pengeluaran tempatan dan 30 peratus import.

“Mengekalkan pengeluaran pada tahap 70 peratus daripada Tahap Sara Diri (SSL) penting untuk sekuriti makan negara,” katanya.

Beliau berkata pengumuman Ahli Bukit Gantang mencerminkan ketidakseriusan kerajaan dalam menangani kos sara hidup dan memastikan industri padi beras diperkasakan.