JIM Sabah Dengan Kerjasama Kedutaan Indonesia Telah Hantar Semula 254 Tahanan PATI...

JIM Sabah Dengan Kerjasama Kedutaan Indonesia Telah Hantar Semula 254 Tahanan PATI Ke Negara Asal

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (JIM Sabah) dengan kerjasama Kedutaan Indonesia telah menghantar 254 orang tahanan PATI dalam Program Penghantaran Pulang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Siri 5/2021 yang telah dilaksanakan hari ini.

Program penghantaran pulang PATI warganegara Indonesia ke Nunukan merupakan penghantaran kali ketiga selepas 282 orang, membawa jumlah keseluruhan PATI Indonesia yang telah dihantar pulang seramai 536 orang.

Pengarah JIM Sabah Datuk Dr Sade Amin berkata sehingga kini seramai 1229 warga asing PATI pelbagai warganegara telah berjaya dihantar balik ke negara asal.

Kesemua PATI warganegara Indonesia tersebut telah ditahan di depot-depot Imigresen di Negeri Sabah sejak tahun 2020 dan mereka dihantar pulang melalui Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan.

“Proses tapisan kesihatan yang ketat termasuk ujian saringan COVID-19 terhadap setiap PATI turut dilakukan bagi memastikan tidak wujud penularan jangkitan COVID-19 sebelum penghantaran pulang…

“Kesemua PATI yang ditahan didapati telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002). Semua PATI telah menjalani hukuman mengikut perundangan negara sebelum dihantar pulang ke Negara asal,” katanya.

Beliau mengingatkan kesemua warganegara asing yang ingin masuk ke Negeri ini agar memiliki dokumen perjalanan yang sah dan mendapat kebenaran untuk berada di negeri Sabah.

“Semua agensi penguatkuasaan di Negeri Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan ini…

“JIM Negeri Sabah akan terus komited melakukan tindakan penguatkuasaan dan penghantaran pulang PATI setelah mereka melalui semua proses perundangan dan mendapat pengesahan daripada kedutaan masing-masing,” tambahnya lagi.