KENINGAU: Walaupun belum menyandang gelaran YB, Ketua Exco Wiramuda STAR Sabah, Jordan Jude Ellron, telah mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemimpin pertama berjaya membekalkan kemudahan televisyen pintar (Smart TV) ke semua sekolah di kawasan DUN Tulid.
Sekolah-sekolah yang menerima kemudahan tersebut termasuk SK Kapayan Baru, SK Sodomon, SK Ambual, SK Magatang, SK Penagatan, SK Kabatang Baru, SK Sinulihan Baru, SK Simbuan, SK Tulid, SMK Tulid, SK Batu Lunguyan, SK Lanas, SK Nanadagan, SK Mansiat, SK Sinaron Tengah, SK Sinua, DK Agama Sinulihan, dan SK Minawo.
“Ini bermaksud semua sekolah atau bilik darjah dari Tahun 1 hingga Tingkatan 6 di kawasan DUN Tulid kini dilengkapi dengan kemudahan Smart TV seratus peratus,” katanya menerusi hantaran terbaharu di media sosial.
Kemudahan Smart TV dilihat membawa pelbagai manfaat kepada sekolah, antaranya meningkatkan keberkesanan dan kecekapan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdPc) melalui teknologi multimedia, menarik minat pelajar serta memudahkan kolaborasi dan akses kepada sumber pendidikan dalam talian.
Peralatan itu juga mampu menggantikan projektor LCD yang sering mengalami masalah teknikal.
Jordan turut menegaskan bahawa pendidikan menjadi keutamaan beliau khususnya untuk manfaat golongan muda di Tulid.
“Saya berharap kemudahan Smart TV ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh guru dan pelajar,” katanya.
Menurut Jordan, inisiatif tersebut seiring dengan agenda Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memperluaskan transformasi digital di peringkat sekolah.
KPM sebelum ini mengumumkan pelaksanaan Pendidikan Digital pada tahun 2021, namun usaha itu masih belum direalisasikan di kawasan Tulid.
Terdahulu, Jordan yang juga anak kepada ADUN Sook, Datuk Ellron Angin, diumumkan sebagai calon berpotensi Parti STAR bagi kawasan Tulid pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) akan datang.






