KUCHING, SARAWAK – Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian mendedahkan, jumlah kelahiran bayi di Sarawak semakin berkurangan.
Beliau berkata jumlah berkurangan daripada kebiasaan pada 2021 apabila hanya 20,000 bayi direkodkan berbanding kira-kira 40,000 orang bagi tahun-tahun sebelumnya.
Menurutnya, punca penurunan jumlah kelahiran mungkin berlaku ekoran pembangunan semula jadi, tahap pendidikan yang semakin meningkat, komuniti dan tekanan kerja…
“Meskipun kerajaan negeri memberikan insentif (kepada pasangan berkahwin untuk memiliki anak), ia bukan semudah itu,” katanya.
Insentif yang dirujuk beliau adalah Dana Pembiayaan Sarawak yang memperuntuk RM1,000 bagi setiap bayi yang dilahirkan dan Bantuan Ibu Bersalin sebanyak RM450 sejak 2017.
Dr Sim turut menzahirkan penghargaan terhadap inisiatif Kumpulan Sunway untuk memulakan operasi pusat kesuburan di Sarawak iaitu yang kedua seumpamanya di negara ini yang boleh membantu mengatasi isu penurunan jumlah kelahiran bayi di negeri itu.





