KOTA KINABALU: Jumlah mangsa terjejas banjir setakat jam 4 pagi hari ini telah meningkat kepada 1,150 orang yang melibatkan tiga daerah termasuk Beaufort, Membakut dan Keningau.
Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan peningkatan jumlah mangsa itu turut melibatkan 362 Ketua Isi Rumah (KIR).
Ekoran itu katanya, setakat ini juga sebanyak tiga jumlah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan satu Pusat Pemindahan Kekal (PPK) telah diaktifkan bagi menempatkan kesemua mangsa terjejas banjir.
“Bagi daerah Beaufort satu PPS diaktifkan, iaitu PPS Dewan DSP Dun Banir yang menempatkan 404 mangsa banjir dan satu PPK, iaitu Dewan Selagon yang kini menempatkan sebanyak 376 mangsa banjir.
“Manakala bagi daerah Membakut pula, satu PPS diaktifkan, iaitu Dewan Kesenian Islam Membakut yang menempatkan 326 mangsa banjir.
“Terakhir, PPS di Keningau, iaitu Dewan Masyarakat Daerah Keningau yang menempatkan 44 jumlah mangsa banjir,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tiga daerah ini telah diisyithar sebagai kawasan bencana banjir kerana tidak selamat untuk didiami susulan hujan lebat berterusan sejak Jumaat lalu.






