TAIPEI, TAIWAN – Festival layang-layang di bandar tepi laut, Nanliao di sini, semalam menjadikan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga (3) tahun menjadi trauma selepas dia terbelit pada tali layang-layang sehingga terangkat beberapa meter ke udara.
Memetik laporan berita Channel News Asia (CNA), kanak-kanak tersebut yang tidak dikenal pasti identitinya itu mengambil bahagian dalam festival layang-layang di bandar tersebut sebelum terperangkap pada layang-layang gergasi berwarna oren.
Rakaman video berdurasi 1 minit 5 saat yang tular sejak semalam di media sosial Facebook jelas menunjukkan kanak-kanak terbabit berpusing beberapa kali di udara sambil disaksikan kumpulan orang dewasa yang berada di tempat itu, selama kira-kira setengah minit sebelum selamat ‘mendarat’ semula ke tanah.
Menurut sumber, kanak-kanak itu mengalami trauma dan ketakutan, namun tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal dalam insiden berkenaan.
Ekoran daripada insiden tersebut, festival layang-layang itu telah dihentikan serta-merta oleh pihak berkuasa di Hsinchu.