MIRI, SARAWAK – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengesahkan pada lebih kurang jam 6.45 pagi tadi, Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC Putrajaya) telah menerima aduan dari kapal Sapura Construction melaporkan kapal telah menerima isyarat kecemasan dari kapal Dayang Topaz di posisi 7.7 batu nautika dari Kuala Baram, Miri.
Kapal Sapura Construction telah bergerak ke lokasi untuk mengesan lokasi sebenar kapal Dayang Topaz yang dilaporkan kapal terbabit mulai karam dengan 62 kru masih berada di atas kapal, manakala 125 kru lagi telah terjun ke laut.

Aset-aset bantuan telah segera bergerak ke lokasi yang merangkumi tiga kapal dan sebuah bot Maritim Malaysia di Miri bersama tujuh kapal dan bot milik syarikat Petronas dan Shell.
Pada kira-kira jam 8.45 pagi tadi seramai 121 kru berjaya diselamatkan, seorang meninggal dunia.

Empat (4) lagi kru ditemui lebih kurang jam 9.29 pagi berhampiran lokasi kejadian dan mereka telah di bawa ke kapal-kapal yang terlibat di dalam operasi carilamat ini.
Oleh itu, kesemua mangsa yang terjun ke laut sejumlah 124 orang telah berjaya diselamatkan manakala seorang meninggal dunia, 62 kru masih berada di atas kapal Dayang Topaz.
Berdasarkan maklumat awal, kejadian disyaki berpunca daripada salah satu kabel sauh Kapal Dayang Topaz di terputus ekoran daripada cuaca buruk dan kapal tidak dapat dikawal lantas hanyut melanggar platform pelantar Minyak beramB.

MRCC Putrajaya kini sedang bekerjasama dengan syarikat carigali minyak Petronas, Shell,Tentera Udara Malaysia (TUDM), Bomba dan Penyelamat, National Search Coordination Center Brunei yang telah menugaskan sebuah pesawat Brunei Shell Petroleum termasuk Komuniti Nelayan Tempatan.
Aset-aset yang terlibat KM Siagut, KM Siakap dan Bot Penggalang 23 kini berada di lokasi kejadian untuk memantau keselamatan mangsa dan aset-aset SAR yang berada di lokasi kejadian.