PUTATAN: Tiga buah rumah dan sebuah van musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran di Kampung Sekambu Petagas pagi tadi, selepas api marak dengan cepat sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 pada jam 9:46 pagi, sebelum jentera Balai Bomba dan Penyelamat Putatan digerakkan ke lokasi.
Jentera pertama tiba pada jam 9:54 pagi, dengan respons sejauh 5 kilometer. Kebakaran dilaporkan melibatkan sebuah rumah separuh kekal berkeluasan 30×50 kaki, sebuah lagi rumah separuh kekal 30×30 kaki, serta sebuah rumah tidak kekal 30×30 kaki, ketiga-tiganya terbakar seratus peratus. Sebuah van jenis Toyota turut hangus sepenuhnya.
Operasi pemadaman diketuai oleh PBK I Linda Eslao Wagis sebagai Komander Operasi, manakala PKPgB Noor Sherriyana Bohari bertindak sebagai Komander Operasi Kanan.
Pasukan bomba dari Putatan, Kota Kinabalu dan Penampang bersama Bomba Komuniti Kg Dopo melaksanakan pemadaman secara ofensif dan defensif, menggunakan sumber air daripada jentera Water Tanker serta pili bomba berhampiran.
Api berjaya dikawal pada jam 10:18 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12:33 tengah hari. Kecekapan pasukan bomba berjaya menghalang api daripada merebak ke rumah berhampiran.
Seramai 32 anggota bomba terlibat dalam operasi ini, disokong oleh agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia, Sabah Electricity, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Kerja Raya.
Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.






