Keningau Tuan Rumah HSN2024 Peringkat Negeri-Ellron

Keningau Tuan Rumah HSN2024 Peringkat Negeri-Ellron

0
SHARE
Ellron
Ellron (tiga dari kiri) ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat induk HSN2024 ( Sumber Foto: Ihsan KBS )

KOTA KINABALU, SABAH – Keningau dipilih menjadi tuan rumah Hari Sukan Negara 2024 (HSN2024) Peringkat Negeri Sabah yang akan berlangsung pada 12 Oktober depan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin berkata selain Keningau, HSN2024 juga diadakan serentak di lima daerah lain iaitu Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Kudat dan Beaufort.

“Tema HSN tahun ini adalah ‘Cergas Bersama’ dan menyasarkan penyertaan lebih 500,000 orang dengan mengetengahkan konsep Malaysia Madani Sukan Baharu dan Sukan Rakyat yang bertujuan untuk penyatuan kesejahteraan serta mengangkat prinsip saling menghormati.

“Selain itu, menggalakkan penglibatan dan penyertaan masyarakat dalam aktiviti sukan ke arah membudayakan gaya hidup sihat melalui pelaksanaan program yang lebih menyeluruh serta komprehensif,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk HSN 2024 Negeri Sabah, pada Selasa.

Ellron turut memaklumkan fokus penganjuran juga menyasarkan penglibatan golongan warga emas, veteran, rakan muda, orang kelainan upaya (OKU), wanita dan kanak-kanak.

“HSN2024 pada tahun ini akan mengadakan beberapa program utama antaranya larian untuk negara, senamrobik, berjalan ria MADANI serta aktiviti bersesuaian di daerah berkenaan.

“Sukan tradisional juga akan diadakan agar golongan muda dapat mengenali serta mempelajarinya supaya tidak hilang ditelan zaman,” ujarnya.

Acara tahunan yang disambut setiap Sabtu minggu kedua itu akan diadakan di Kompleks Sukan Keningau dan dijangka dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Di samping itu, Ellron memaklumkan persiapan kontinjen Sabah ke Sukan Malaysia (SUKMA) dalam keadaan baik dan beberapa atlet sedang menjalani latihan serta membiasakan diri dengan keadaan di Sarawak.

“Diharapkan semua atlet Sabah akan menunjukkan disiplin yang tinggi, tidak memandang rendah pasukan lain dan perlu memberikan saingan kepada lawan masing-masing,” katanya. — JABATAN PENERANGAN SABAH