Kerajaan Dicadang Wujudkan Youth Policy Labs, Platform Anak Muda Cadang dan Kaji...

Kerajaan Dicadang Wujudkan Youth Policy Labs, Platform Anak Muda Cadang dan Kaji Dasar Negeri

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah dicadang menubuhkan sebuah platform rasmi yang dinamakan “Youth Policy Labs”, bagi membolehkan anak muda terlibat secara langsung dalam merangka dan mengkaji dasar-dasar negeri.

Cadangan itu dikemukakan Penolong Setiausaha Beliawanis Gagasan Rakyat Tempasuk, Nabilah Perman, ketika membahaskan usul bertemakan politik dalam Persidangan Agung Tahunan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) di sini, pada Sabtu lalu.

Menurut beliau, sudah tiba masanya anak muda, khususnya wanita muda dari kawasan luar bandar, tidak hanya menjadi penyokong politik semata-mata, tetapi diberikan ruang sebagai strategis, perancang dan pembuat keputusan.

“Wanita muda, khususnya di kawasan luar bandar seperti kita, bukan lagi sekadar pemerhati dalam politik, kita adalah pemegang taruh dan kita mesti dilibatkan dalam proses, bukan sekadar jadi pelengkap program,” tegas Nabilah.

Antara cadangan utama yang dibawa oleh beliau termasuk Penubuhan Youth Policy Labs sebagai ruang rasmi untuk belia Sabah mencadang, mengkaji dan menilai dasar kerajaan negeri; Mentor Muda Negeri setiap ADUN wajib membimbing sekurang-kurangnya lima anak muda sebagai pelapis kepimpinan;

Seterusnya, Penubuhan Pusat Pembangunan Kepimpinan Anak Muda Sabah sebuah akademi khas untuk melahirkan pelapis pentadbiran dan parti.

Nabilah turut memuji usaha Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri merangkap Presiden PGRS yang menurutnya telah memperkenalkan dasar-dasar berimpak tinggi seperti program Felo Sabah Maju Jaya (SMJ), Majlis Belia Sabah, dan Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKEBS).

Namun, beliau menegaskan dasar yang baik mesti sampai kepada rakyat akar umbi.

“Apa guna pelan indah kalau anak muda di Tempasuk, di Kota Marudu, di Nabawan, masih tidak tahu bagaimana dasar itu boleh bantu mereka?” soal Nabilah.

Beliau turut menyentuh isu keperluan menjadikan politik sebagai medan menyelesaikan masalah sebenar rakyat seperti krisis pekerjaan, kos sara hidup dan kesihatan mental.

“Anak muda hari ini bukan anti-politik. Mereka cuma anti politik yang tidak relevan, yang jauh dari realiti hidup mereka,” tambahnya.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa Beliawanis Gagasan Rakyat mesti menjadi tulang belakang kemenangan Gabungan Rakyat Sabah dalam Pilihan Raya Negeri ke-17, memandangkan lebih 910,000 pengundi muda berumur 18 hingga 39 tahun bakal menjadi kumpulan penentu dalam pilihan raya akan datang.

“Kita bukan sekadar mahu undi mereka. Kita mahu penyertaan dan kepercayaan mereka dan itu jauh lebih berharga,” katanya.