KERAJAAN LULUSKAN PEMBERIAN GERAN UNTUK DUA KAMPUNG DI TAWAU, SUMBANG RM 1...

KERAJAAN LULUSKAN PEMBERIAN GERAN UNTUK DUA KAMPUNG DI TAWAU, SUMBANG RM 1 JUTA KEPADA PERSATUAN ORANG PEKAK

0
SHARE

TAWAU, SABAH – Kerajaan negeri telah meluluskan untuk memberi geran tanah kepada dua perkampungan di kawasan Tanjung Batu iaitu Kampung Budaya Pasir Putih dan Kampung Tanjung Batu Laut, di sini hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor telah menyerahkan warta kampung itu kepada Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Joseph Pang, sempena Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Sabah Softwoods Berhad, di Pasir Putih di sini.

“Kerajaan negeri telah meluluskan untuk memberi geran tanah di dua perkampungan di kawasan Tanjung Batu.


Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor beramah mesra dengan sebahagian dengan pleajar OKU ketika melawat ke Bangunan Persatuan Untuk Orang Pekak Tawau di sini, hari ini…

“Justeru, dengan pemberian geran tanah ini, rakyat yang tinggal di perkampungan itu tidak lagi berasa bimbang kerana ia telah dijadikan tanah rizab kampung,” katanya.

Yang turut hadir isterinya, Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong; dan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Datuk Sr Bernard Liew.

Selain menghadiri beberapa lagi rumah terbuka Aidilfitri termasuk rumah terbuka Keluarga Titingan dan Parti BERSATU Bahagian Kalabakan, Hajiji turut melawat ke Bangunan Persatuan Untuk Orang Pekak Tawau dan sempat meluangkan masa bertemu dengan anak-anak istimewa yang belajar di situ serta tenaga kerja persatuan berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor (dua dari kiri) menyerahkan Warta Kampung bagi dua perkampungan di Tawau kepada Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Joseph Pang sambil disaksikan oleh Menteri pembangunan luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim dan Pengarah Jabatan Tanah Dan Ukur Datuk SR Benard Liew serta ADUN Tanjung Batu, Andi Suryadi Bandy, pada Majlis Penyerahan Warta Kampung sempena rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Sabah Softwoods Berhad, di Tawau pada Rabu…

Sempena majlis itu, ketua menteri turut menyampaikan sumbangan daripada kerajaan negeri sebanyak RM1 juta bagi pembinaan bangunan baharu persatuan manakala sebanyak RM50,000 lagi untuk kos operasi pusat berkenaan.

Sumbangan disampaikan kepada Pengerusi persatuan berkenaan, Dr Lo Vun Kong.

Pada malam ini, Ketua Menteri akan mengiriingi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Mahiruddin ke Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Majlis Tilawah Al-Quran dan Hafazan Peringkat Negeri Sabah 1443H/2022H di Dewan Masyarakat Tawau.