PAGOH – Perjanjian dimeterai empat gabungan politik dengan Pakatan Harapan (PH) untuk sebuah Kerajaan Perpaduan membuktikan kedudukan Perdana Menteri ketika ini agak goyah.
Demikian kata Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata langkah berkenaan menunjukkan Anwar seolah-olah tidak berkeyakinan untuk meraih sokongan majoriti Ahli Parlimen pada sidang khas yang bakal menyaksikan pembentangan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, di Dewan Rakyat, Isnin depan.
“Perjanjian itu turut memaksa Ahli Parlimen untuk mengosongkan kerusi sekiranya tidak menyokong Perdana Menteri dalam apa-apa usul, dan ini tidak pernah dilihat dalam mana-mana persefahaman atau undang-undang sebelum ini…
“Saya tidak pernah melihat perkara sebegini dalam undang-undang sebelum ini, kecuali berkaitan akta antilompat parti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Kesyukuran PN Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, di sini, hari ini.
Memetik sumber Berita Harian, Muhyiddin berkata, sepatutnya pengundian dalam usul undi percaya terhadap Perdana Menteri adalah berasaskan kepercayaan dan bukan paksaan.
“Saya fikir Ahli Parlimen sepatutnya tidak terasa dipaksa. Perkara ini tidak boleh dipaksa walaupun mereka dalam gabungan itu ada persefahaman,” katanya.
Pada pemeteraian perjanjian itu, semalam, gabungan politik terbabit diwakili pemimpin tertinggi masing-masing iaitu Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, manakala PH pula diwakili Anwar sebagai Pengerusinya.
Turut menandatangani perjanjian Permuafakatan Antara Gabungan Bawah Kerajaan Perpaduan itu ialah Setiausaha Agung gabungan politik masing-masing, iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH); Datuk Seri Dr Zambry Ab Kadir (BN); Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (GPS); Datuk Seri Masidi Manjun (GRS) dan Datuk Loretto S Padua Jr (WARISAN).
Antara perkara digariskan dalam perjanjian itu ialah Ahli Parlimen dalam gabungan bawah Kerajaan Perpaduan, yang tidak menyokong Perdana Menteri dalam apa-apa usul berkait usul percaya, perbekalan atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan terhadap keabsahan Kerajaan Persekutuan mengikut Perlembagaan Persekutuan, perlu mengosongkan kerusi yang dimenanginya.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, beliau sudah mendengar pandangan peguam, termasuk yang mendakwa perjanjian itu adalah tidak berperlembagaan.
“Saya diberitahu sebahagian pendapat bahawa perjanjian itu mungkin dari sudut undang-undang dikatakan tidak berperlembagaan, tidak berperaturan dan melanggar undang-undang…
“Ini kerana Ahli Parlimen ada hak kebebasan mereka dan itu ada dalam undang-undang. Maknanya kalau Ahli Parlimen hendak sokong, dia sokonglah dan kalau tidak, jawatan itu tidak tergugur.
“Kalau parti hendak mengambil tindakan disiplin, itu soal lain tetapi tidak perlu sehingga harus berhenti atau mengosongkan kerusi.
“Ahli Parlimen PN akan berada di Parlimen dan mengadakan mesyuarat pada petang esok, untuk memutuskan pendirian. Saya fikir sebahagian daripada kita atau kesemuanya mungkin tidak akan menyokong kedudukan Perdana Menteri.