Kes Nothing To Hide; 8 Lelaki Kini Diburu

Kes Nothing To Hide; 8 Lelaki Kini Diburu

0
SHARE
Sumber Foto; Harian Metro

SHAH ALAM – Polis sedang mengesan lapan lelaki bagi membantu siasatan kes insiden kekecohan program Nothing To Hide 2.0 di Kompleks Belia dan Kebudayaan, Seksyen 7, Shah Alam, 13 Ogos lalu.

Menurut laporan Harian Metro, kesemua individu itu dikenali sebagai Muhammad Hafiz Azhar, 29, Mohd Hafiz Azit, 28, Donney Afzal Kaspullidzan, 27, Amar dan Is (nama gelaran) serta tiga individu lain yang belum dikenal pasti identiti.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, program anjuran ARMADA Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada 3 petang itu dihadiri kira-kira 2,000 orang termasuk pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan.

“Bagaimanapun, kira-kira 5.30 petang, berlaku insiden membaling sebuah kerusi ke arah pentas dan keadaan menjadi kecoh sehingga disusuli dengan rusuhan serta membakar suar.

“Berikutan insiden itu, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 15 (2) Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 153 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya hari ini

Menurutnya, tiga lelaki ditahan di tempat kejadian kerana disyaki terbabit dalam insiden berkenaan.

“Beberapa siri tangkapan dibuat di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur menjadikan jumlah tangkapan setakat ini seramai 14 orang. Semua mereka direman untuk tindakan lanjut,” katanya.

Fadzil berkata, polis mengenal pasti lapan individu berkenaan yang boleh membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menyalurkannya kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di talian 03-55202222 atau Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Yong Meng Heng di talian 019-5753399.

Harian Metro melaporkan forum itu bertukar kecoh dan tegang apabila suar, kerusi, kasut, selipar dan botol air ‘berterbangan’ ketika Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap.

Forum yang pada mulanya aman bertukar tegang sehingga berlakunya lontaran beberapa objek selepas seorang penonton bertanyakan soalan kepada bekas Perdana Menteri itu.

Keadaan itu menimbulkan panik kepada mereka yang hadir sehingga penonton bertindak berlari ke luar dewan untuk menyelamatkan diri dan beberapa orang turut dilaporkan cedera ketika kekecohan berlaku.

Suasana forum itu menjadi tegang apabila Dr Mahathir enggan menjawab soalan seorang hadirin yang bertanya sama ada sabitan kes liwat terhadap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika era pentadbirannya adalah benar atau hanya bermotifkan politik.