KOTA KINABALU, SABAH – Aliran trafik balik kampung setelah dua tahun pandemik dijangka akan menjadi luar biasa bagi Sabah menjelang Aidilfitri ini mengakibatkan sehingga 200 peratus peningkatan penggunaan jalan raya.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata demikian sambil menambah terdapat tiga elemen yang harus dipraktik pemandu iaitu untuk sentiasa memastikan keselamatan diri dan orang lain selain berfikiran tenang.
“Jika elemen itu dapat disatukan, sudah tentu pengguna jalan raya memandu secara berhemah, berhati-hati dan bersopan santun ketika memandu,” katanya kepada media di Majlis Pelancaran Op Selamat 18/2022 di Putatan pagi tadi.
Menurut beliau, statistik untuk Januari hingga Mac tahun ini menunjukkan peningkatan dalam kemalangan jalan raya termasuk kemalangan maut.
“Perkara ini membimbangkan dan kita minta masyarakat memastikan bahawa mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan ketika menggunakan jalan raya,” tambah beliau.
Jauteh memaklumkan 90 peratus anggota dan pegawai akan bertugas raya ini yang mana seramai 238 anggota trafik ditugaskan khas untuk Op Selamat.
“Ini tidak termasuk unit lain. Hanya 10 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah yang bercuti sempena perayaan ini manakala selebihnya bertugas seperti biasa,” katanya.
Selain itu, beliau menasihati penghuni rumah yang ‘balik kampung’ supaya memaklumkan kepada jiran tetangga atau polis supaya rondaan berkala dapat dibuat di kawasan masing-masing.