KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor memberi penghormatan kepada penyanyi perintis Kadazan, Datuk Justin Stimol, yang mana pemergiannya meninggalkan kekosongan dalam industri muzik masyarakat tempatan.
“Sumbangan beliau amat besar sehinggakan beliau bukan sahaja memperkenalkan Sabah kepada dunia tetapi juga mempromosikan lagu-lagu tempatan, khususnya dalam bahasa Kadazan.
“Pada tahun 1983, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menjemput Datuk Justin membuat persembahan di New York sempena Persidangan Budaya dan Tradisi Antarabangsa.

“Pada 2016, Datuk Justin telah dijemput ke Budapest, Hungary untuk menghadiri Ulang Tahun ke-50 Revolusi dan Perjuangan Kebebasan 1956 sebagai pengiktirafan terhadap puisi yang ditulisnya bertajuk ‘Kahagaasan’ atau Kebebasan yang diterjemahkan ke Magyar (bahasa Hungary) dan diterbitkan dalam Buku Merah Gloria Victis 1956,” katanya dalam satu rakaman mesej pada malam penghargaan untuk Stimol.
Hajiji berkata Stimol adalah legenda lagu Kadazan yang telah mencipta lagu pertamanya ketika hanya berumur 16 tahun berjudul ‘Ada Hiivai Piniumpangazan’ yang dinyanyikan oleh kakaknya Evelyn Ebin.
Dilahirkan pada 7 Nov 1938, lagu ‘hit’ pertama Justin, Maggie, telah disiarkan oleh RTM pada tahun 1962 diikuti oleh beberapa lagu hangat lain termasuk Sonsomido dan banyak lagi.
Ketua Menteri berharap aktiviti mengumpul dana untuk membina Galeri Datuk Justin Stimol akan berjaya sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya.
“Dia mungkin sudah tiada tetapi jiwanya terus hidup bersama kami menerusi lagu-lagunya,” katanya.





