PAPAR: Seramai 30 anak muda dari Papar berjaya dalam fasa awal temuduga terbuka yang dijalankan oleh Syarikat Kumpulan Kibing, hasil inisiatif pelaburan besar di Sabah yang diterajui oleh Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan PH Plus.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali dalam kenyataannya berkata, temuduga yang dijalankan pada 21 Mei lalu itu merupakan sebahagian daripada proses pengambilan tambahan 700 pekerja tempatan oleh Kibing Group.
“Pengambilan ini adalah tambahan kepada 1,625 pekerja sedia ada dan akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga pengeluaran ketiga kilang mereka di KKIP mula beroperasi sepenuhnya pada September 2025,” jelas beliau.
Sebelum ini, Armizan turut hadir bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam majlis sambutan Aidilfitri bersama warga kerja Kibing Group di kilang mereka yang dibina dengan pelaburan mencecah RM2.5 bilion sejak 2022.
Beliau turut memaklumkan bahawa dua lagi pelaburan besar dijangka direalisasikan dalam masa terdekat, termasuk pelaburan ESTEEL di SOGIP Sipitang yang bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 Mei ini.
“Saya juga berharap Kerajaan dapat memuktamadkan pelaburan baharu Kibing Group di Kimanis yang disasarkan mewujudkan sehingga 5,000 peluang pekerjaan,” tambahnya.
Armizan menyifatkan perkembangan ini sebagai bukti usaha berterusan kerajaan dalam membawa masuk pelaburan bagi membuka lebih banyak ruang pekerjaan kepada rakyat Sabah.






