Kim Teck Cheon Perluaskan Program CSR Di Seluruh Negeri Sabah

Kim Teck Cheon Perluaskan Program CSR Di Seluruh Negeri Sabah

0
SHARE
Awang Kadin bersama Dexter bergambar kenangan bersama penerima di majlis tersebut...

TAWAU, SABAH – Syarikat Kim Teck Cheong Consolidated Berhad akan memperkukuhkan kerjasama strategik dari segi penyaluran maklumat kepada masyarakat umum khususnya melalui pelbagai aktiviti serta kolaborasi pada masa akan datang.

Pengarah Urusannya Datuk Dexter Lau berkata, ini merupakan pendekatan syarikat mereka untuk meningkatkan peranan dalam tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka sekali gus bersedia menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta di seluruh negeri ini.

Katanya, sebagai contoh jelas Program Jelajah Majlis Berbuka Puasa Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) berlangsung selama 25 hari di seluruh 25 parlimen di negeri Sabah merupakan antara pengisian utama dalam perancangan di masa depan.

“Kita berharap agar program CSR syarikat Kim Teck Cheong Consolidated Berhad dapat diteruskan pada masa akan datang demi memberi manfaat kepada masyarakat di Sabah sekali gus mengalu-alukan pelbagai penyertaan dalam kalangan pihak kerajaan dan swasta…

“Kami amat gembira kerana UPPM bagi saya peluang untuk sama-sama menyumbang keuntungan dalam kalangan masyarakat sedia ada. Jadi hari ini kami bersama-sama turun padang juga jumpa pengguna untuk melihat keperluan rakyat yang boleh dibantu oleh syarikat kami,” katanya ketika ditemui media di sini, semalam.

Antara tetamu yang hadir di dalam program tersebut…

Dexter berkata, peluang bertemu masyarakat di peringkat akar umbi akan dimanfaatkan oleh syarikat bagi mengenal pasti maklum balas orang ramai terhadap mutu perkhidmatan mereka kepada masyarakat di seluruh negeri.

Sementara itu dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik Datuk Hassan A Gani Pg Amir berkata, program ini bukan sahaja mampu mengeratkan silaturahim dalam kalangan UPPM tetapi juga mampu menyantuni rakyat yang kurang berkemampuan.

“Program ini memang amat sangat dinanti-nantikan oleh seluruh masyarakat terutama mereka yang berada jauh dan pendekatan ini merupakan yang boleh mengeratkan hubungan silaturahim bersama-sama pemimpin yang sedia ada di Parlimen Kalabakan,” jelas Hassan.

Pada majlis itu, seramai 40 orang anak yatim, asnaf, warga emas serta ibu tunggal menerima sumbangan wang tunai dan bakul makanan disumbangkan syarikat Benta Wawasan.

Hadir sama Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Andy Muhammad Suryadi Bandy, ADUN Kukusan Rina Jainal dan Pengarah UPPM Sabah, Datuk Awang Kadin Tang.

Awang Kadin bersama Dexter bertanya khabar dengan Liew Yun Fah…