SINGAPURA – Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura dalam satu kenyataan memaklumkan akan mula menjual kit ujian pantas antigen (ART) kendiri COVID-19 di farmasi Guardian, Unity dan Watson bermula 16 Jun ini.
Menteri Kesihatan Ong Ye Kung baru-baru ini telah mengumumkan perkara itu pada sidang media Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi COVID-19.
“Kita ingin lebih banyak kegiatan diteruskan semula, kita perlu pastikan ujian dapat dilakukan dengan pantas, mudah dan mudah diakses tanpa membahayakan orang lain…
“Pada peringkat permulaan, setiap orang hanya dibenarkan membeli 10 kit ART kendiri bagi memastikan bekalan mencukupi untuk semua.
“Kit ujian ini akan tersedia di lebih banyak lokasi runcit secara berperingkat, sekali gus mengurangkan risiko penularan di pusat pengujian,” katanya.
Pengarah khidmat perubatan MOH, Profesor Madya Kenneth Mak, berkata pihaknya akan membenarkan kit ujian dibeli secara bebas apabila lebih banyak bekalan kit ART kendiri disediakan untuk jualan runcit.
“Kit ART kendiri ini boleh memberikan hasil ujian dalam masa kurang 20 minit, mudah digunakan dan boleh dilakukan sendiri…
“Ini membolehkan kita mengesan kes jangkitan dengan lebih cepat, terutama dalam kalangan individu yang tidak mengalami gejala jangkitan pernafasan akut tetapi bimbang mereka mungkin terdedah kepada COVID-19.
“Kit ART kendiri ini melengkapkan strategi pengawasan keseluruhan kami selain menjadi pilihan ujian terbaik bagi individu pernah mengunjungi tempat mempunyai kes yang disahkan,” katanya
Tambah beliau, ujian berkala adalah kunci untuk Singapura membuka semula ekonomi dan akan menjadi sebahagian daripada kehidupan biasa di republik itu.
Prof Mak juga yakin pengesanan dan pengasingan kes dalam masyarakat dapat dipercepatkan termasuk mengesan dan mengasingkan kes positif dalam masyarakat untuk membolehkan lebih banyak kegiatan sosio ekonomi diteruskan.
“Meskipun kita mengesan kes dan kelompok lain, ujian kit ART kendiri dapat memberi kita jaminan yang lebih besar bahawa rumah, premis jualan dan tempat kerja kita selamat,” katanya.
MOH, dalam kenyataannya, menggesa individu yang positif ujian kit ART kendiri segera melakukan ujian calitan dan menghantarnya ke Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) untuk pengesahan ujian reaksi rantai polimerase (PCR).
Mereka juga diminta mengasingkan diri sehingga hasil ujian PCR disahkan negatif manakala mereka yang negatif bagi ujian kendiri ART harus tetap waspada dan mematuhi langkah pengurusan yang selamat.
Individu yang mempunyai gejala jangkitan pernafasan akut pula harus segera berjumpa doktor untuk diagnosis penuh dan ujian PCR, tanpa bergantung pada kit ART kendiri.
Setakat ini, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) membenarkan empat kit ART kendiri dijual kepada orang ramai.
Ini termasuk Ujian Diri Antigen Abbott PanBio COVID-19, Ujian QuickVue At-Home OTC COVID-19, Ujian Antigen Nasal diri SD Biosensor Sars-CoV- 2 dan Ujian Rumah SD Biosensor Standard Q COVID-19 Ag.