KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengkaji keberkesanan inisiatif lanjutan waktu bekerja di fasiliti tertentu sebagai langkah mengatasi isu kesesakan khususnya di Jabatan Kecemasan khususnya menjelang musim perayaan.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, untuk itu KKM melalui Program Perubatan, Program Kesihatan Awam serta Program penyelidikan dan Sokongan Teknikal di bawah Timbalan Ketua Pengarah masing-masing diminta untuk menyemak dan menganalisis data di hospital dan klinik kesihatan untuk melihat keberkesanan inisiatif terbabit.
Di samping lanjutan waktu bekerja, katanya, usaha untuk memperkasakan ‘lean healthcare system’ yang bertujuan meningkatkan pengurusan aliran pesakit dan memastikan rawatan terbaik dapat diberikan tanpa peningkatan kos, juga sedang dipertingkatkan terutama di hospital yang mengalami kesesakan di jabatan kecemasan.
“Bagi hospital yang mempunyai ruang, pelaksanaan wad jangka masa pendek (short stay ward) akan diperkenalkan. Inisiatif ini juga sudah dijalankan di beberapa hospital.
“Saya juga mencadangkan supaya kriteria wad ini ditambah baik bagi mengelak pesakit khususnya yang berada di zon kuning menunggu lama.
“Sistem pengurusan katil pesakit juga akan terus diperkemaskan. Ini penting supaya penggunaan katil di hospital dapat dikawal selia dan diurus dengan baik,” katanya melalui kenyataan di Twitter, semalam.
Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan pihaknya akan terus meneliti model kerjasama dengan agensi kerajaan, kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta supaya isu kesesakan di Jabatan Kecemasan dapat ditangani dengan berkesan.
Beliau mengakui kerjasama dengan sektor swasta semasa pandemik COVID-19 banyak membantu KKM dan model seperti ini akan dilihat secara khusus termasuk kerjasama dengan pengamal perubatan swasta.
Dr Zaliha juga berkata, sistem perkhidmatan kesihatan perlu dititikberatkan dan KKM akan terus menaik taraf sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada sistem digital yang berpotensi membantu mengatasi masalah yang wujud.
“Banyak solusi dan intervensi digital dalam perkhidmatan kesihatan sudah diperkenalkan di negara lain dan Malaysia harus mendukung aspirasi sama supaya perkhidmatan kesihatan dapat berjalan dengan lebih efisien,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, keperluan untuk mendapatkan lebih ramai tenaga kerja doktor, jururawat, penolong pegawai perubatan, pegawai farmasi, profesion sains bersekutu, kakitangan sokongan dan lain-lain akan dilakukan.
“KKM akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan untuk mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan isu ini dalam jangka masa sederhana dan panjang.
“Pembangunan Kertas Putih Kesihatan tentunya akan merangkumi semua perkara dan dapat menjana perubahan makro dan mikro dalam mereformasikan sektor kesihatan negara,” katanya.





