KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor akan bertemu dengan Shell Malaysia untuk membincangkan isu 35 stesen minyak di Sabah dan Labuan yang akan ditutup pada awal tahun hadapan.
“Saya sedar situasi itu dan akan bertemu dengan Pengerusi Shell Malaysia Siti Hurrairah Sulaiman untuk mengetahui lebih lanjut keadaan dan nasib peruncit yang terjejas di Sabah dan Labuan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Shell Timur Sdn Bhd, yang mengendalikan kiosk Shell di Sabah dan Labuan telah mengesahkan akan menutup beberapa stesen runcit yang kurang produktif di Malaysia Timur untuk mengekalkan prestasi syarikat dalam semakan berterusan.
Dilaporkan bahawa antara stesen yang terjejas ialah 10 di Tawau, dua di Semporna, enam di Lahad Datu, 12 di Sandakan, dua di Labuan, dan masing-masing satu di Likas, Telipok dan Kuala Penyu.