
KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memiliki sokongan majoriti dari 44 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi membentuk kerajaan negeri.
“Untuk makluman semua, kita mempunyai sokongan majoriti daripada 44 wakil rakyat ADUN kita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
“Ini bermakna bahawa kerajaan yang ada ini yang saya pimpin masih lagi kukuh dan kuat selain akan terus mentadbir negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi pertemuannya dengan 44 ADUN terbabit bertempat di Sri Gaya, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Hajiji yang juga merupakan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut memaklumkan pemberita bahawa akuan bersumpah (SD) telah dihantar kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu semalam.
Dalam pada itu, Hajiji turut berkata rombakan kabinet seperti yang diumumkan oleh beliau menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan, baru-baru ini akan dilakukan dalam tempoh terdekat ini.