
KOTA KINABALU, SABAH – Kolaborasi Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita bersama Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dan Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) penting bagi memperkasakan program pembangunan wanita.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib berkata, penglibatan NGO sebagai rakan strategik JHEWA dan MPWS mustahak bagi mempergiatkan usaha kerajaan menjayakan program-program pemerkasaan dan pembangunan wanita di negeri ini.
“Kementerian sentiasa merancang dan melaksanakan program-program pembangunan agar wanita Sabah tidak ketinggalan dalam arus pembangunan dan kemajuan bagi memastikan mereka inovatif serta berpengetahuan seiring pembangunan negara.
“Melalui JHEWA, KPMKR menyediakan geran peruntukan kepada NGO wanita yang layak dan berdaftar dengan JHEWA bagi menganjurkan program pemerkasaan komuniti khususnya golongan wanita.
“Selain itu, kolaborasi NGO wanita melalui sesi libat urus bersama MPWS telah banyak membantu menyelesaikan pelbagai isu selain merancang pelan tindakan setiap aspek yang melibatkan pemerkasaan wanita di negeri ini diambil kira.
“Oleh itu, saya menyeru agar kita berusaha bersama memperkasakan golongan wanita, kerana apabila mereka bahagia, keluarga turut gembira dan masyarakat terbina dengan jayanya,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri 1444H JHEWA dan MPWS disini pada Jumaat.
Teks ucapan beliau disampaikan Setiausaha Tetap KPMKR, Datuk Sr Lee Chun Khiong.
Hadir sama, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Noraini Idris, Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Zainudin Aman, Pengerusi MPWS, Datuk Dr. Tarsiah TZ Taman, Timbalan Setiausaha Tetap KPMKR, Maria David Erick, Pengarah JHEWA, Haslina Ismail dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Jais Asri — JABATAN PENERANGAN SABAH





