PENAMPANG, SABAH – Mesyuarat khas Majlis Tertinggi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memutuskan untuk menunda Persidangan Perwakilan Tritahunan yang sepatutnya diadakan pada 15 sehingga 16 Oktober ini ke satu tarikh baharu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 15.
Bakal Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan berkata keputusan penundaan kongres parti terbabit dibuat bagi memberikan tumpuan sepenuhnya kepada persiapan pilihan raya.
Menurutnya, penundaan ini tidak memberi kesan kepada transisi kepimpinan dalam parti dan juga keputusan pencalonan bagi jawatan dalam Majlis Tertinggi.
Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden tidak akan dipertandingkan selepas calon-calon yang layak menang tanpa bertanding selepas calon lain memberi laluan.
Sementara itu, dalam Mesyuarat khas Majlis Tertinggi parti itu juya memutuskan agar Ewon dilantik menjadi Pengarah Pilihanraya UPKO yang sebelum ini dipegang oleh Naib Presiden Datuk Wong Thien Fook.
Ewon berkata UPKO sedang giat melaksanakan persiapan menghadapi pilihan raya khususnya di kawasan yang menjadi sasaran untuk ditandingi pihaknya.
“Walaupun perundingan berkenaan pengagihan kerusi masih berjalan di peringkat pimpinan tertinggi parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH), namun mendapat gambaran berkenaan kerusi-kerusi yang bakal ditandingi…
“Yang pasti, kerusi-kerusi yang akan ditandingi oleh UPKO ada yang akan ditandingi oleh Barisan Nasional (BN), ada yang akan ditandingi oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN).
“UPKO bersama-sama dengan parti-parti komponen PH iaitu PKR, DAP, AMANAH serta rakan sekutu MUDA bersedia berhadapan dengan parti-parti ini,” katanya.
Beliau turut menambah beliau akan mengadakan kunjungan ke bahagian-bahagian yang bakal ditandingi oleh UPKO bermula pada minggu hadapan.