KOTA KINABALU, SABAH – Kota Kinabalu diyakini mampu membangun dan berkembang menjadi sebuah metropolitan yang membanggakan jika diwakili oleh Ahli Parlimen daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Kerana itu, katanya, warga Parlimen Kota Kinabalu perlu keluar daripada belenggu parti pembangkang yang hanya banyak bercakap tetapi kurang bekerja dan memberikan sokongan padu kepada calon GRS.
“Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini, GRS menampilkan seorang calon yang muda iaitu Cik Yee Tsai Yiew. Beliau ialah seorang peguam dan lebih layak untuk menjadi calon…
“Selain seorang yang kuat bekerja, Yee juga memiliki perwatakan yang mudah didekati dan mesra rakyat.
“Walaupun muda, Yee mempunyai banyak visi dan saya pasti selepas ini beliau akan berjumpa dengan golongan belia profesional dan bertauliah untuk berbincang tentang membangunkan bandaraya Kota Kinabalu, supaya berkembang menjadi sebuah kota metropolitan yang membanggakan,” katanya semasa merasmikan Majlis Ramah Mesra bersama Calon GRS, Yee Tsai Yiew anjuran Persatuan Bola Keranjang Kota Kinabalu (KK) yang diadakan di Dewan Hakka, Tanjung Lipat, di sini, kelmarin (Isnin).

Dr. Joachim yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berasa amat yakin Yee yang berkelulusan ijazah Perundangan mampu membawa banyak perubahan positif di kawasan parlimen ini kerana beliau adalah calon kerajaan yang masih memerintah.
Kerajaan Negeri GRS-BN yang diterajui oleh YAB Ketua Menteri sedang giat membangunkan Sabah melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Kita mahu GRS-BN menjadi kuat lagi, supaya suara kita lebih kuat dalam menuntut hak-hak kita seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Justeru, kita perlu menyokong calon muda ini.
“Di Parlimen Kota Kinabalu, warga Kota Kinabalu perlu memenangkan calon no.5, Cik Yee Tsai Yiew,” kata Dr. Joachim.






