Lagu Ternoktah Karya Baru Aisha Retno

Lagu Ternoktah Karya Baru Aisha Retno

0
SHARE
Aisha
Aisha Retno ( Sumber Foto: Ihsan Sony Music Malaysia )

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pengubah lagu, Aisha Retno, 23, kini kembali tampil dengan karya baharu menerusi lagu bertajuk ‘Ternoktah’.

Menurutnya, lagu terbabit mengisahkan tentang perasaan yang sudah berakhir (tawar hati) akan sesuatu yang dicintai.

“Kebelakangan ini, ramai yang telah mengambil perhatian terhadap gelombang berita perpisahan yang melibatkan selebriti terkemuka, seperti yang dipaparkan melalui medium media tempatan.

“Realiti ini telah membangkitkan simpati dalam diri Aisha, dan kemudiannya meluahkan ia melalui lagu yang mengisahkan kisah perpisahan dengan seseorang yang amat disayanginya.

“Tajuknya jelas menggambarkan terhenti atau habisnya sesebuah hubungan percintaan. Boleh dikatakan, perpisahan bukan perkara janggal, ia normal dan banyak berlaku dalam masyarakat, sudah nama pun manusia biasa,” katanya.

Mengulas lanjut, Aisha yang pernah menerima pencapaian Anugerah Emas (SAMIs) dengan penjualan lagu ‘W.H.U.T’ (Wanna Hold U Tight) menerusi penjualan strim digital di Malaysia dan Indonesia itu mengatakan interpretasi terhadap lagu terbarunya itu tidak terikat kepada kisah percintaan semata-mata.

Sebaliknya, pendengar juga boleh mengaitkan dengan perkara disekeliling seperti perpisahan terhadap sesuatu hubungan.

“Skop lagu ini boleh dibuka lebih besar. Dalam kehidupan, kadang-kadang kita rasa tak mahu lagi lakukan sesuatu, atau mungkin kita rasa mahu mulakan lembaran baru dengan orang yang kita percaya. Justeru, sudah tentu kita meletakkan noktah pada cerita lama yang terdahulu,” tambahnya.

Aisha Retno atau Melly, watak yang dipegang dalam drama Gadis Muzikal ini berkongsi tentang ‘Ternoktah’ yang mempunyai kaitan dengan hidupnya, pemilik nama lengkap Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam ini tidak menafikan perkara itu.

“Buat masa sekarang saya lebih memberi tumpuan kepada bidang kerjaya (nyanyian, lakonan dan pengacara). Semestinya banyak perkara turun naik yang berlaku dalam kehidupan saya.

“Namun semua itu saya terima dengan hati yang terbuka dan akhirinya dengan damai serta mengambil ia sebagai pengajaran dalam kehidupan. Tidak lupa juga, Aisha mempunyai ibu dan ayah yang sentiasa menjadi tulang belakang yang memberi kata-kata semangat kepada saya,” katanya.

Kini, Aisha tampil dengan lagu balad yang unik dan padu untuk didengar oleh orang ramai dan ini membuatkan beliau lebih teruja kerana sukakan cabaran bagi meningkatkan kebolehan pada dirinya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana diberi peluang untuk melancarkan lagu-lagu yang berbeza genre sebelum ini.

“Walaupun berhadapan dengan jadual kerja yang padat, namun saya menghasilkan lagu balada yang bertajuk ‘Ternoktah’, diselit juga dengan penggayaan vokal dan muzik yang moden agar boleh menebusi pendengar dari pelbagai peringkat umur, terutamanya generasi muda,” katanya.

Selain itu, ‘Ternoktah’ telah mendapat sentuhan istimewa daripada dua orang komposer dan penulis lirik berbakat iaitu Hanis Rafi dan Firdaus Rahmat dalam menjayakan single ini.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Saya gembira bekerjasama dengan mereka bukan saja untuk single ini, malah untuk beberapa lagi lagu lain yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

“Harapan saya sudah semestinya lagu ini diterima oleh pendengar dan dijadikan sebagai sumber inspirasi agar orang ramai boleh mengambil tindakkan yang lebih positif dan manfaat jika berlaku perpisahan,” katanya.