MELAKA – Sabah FC gagal melayakkan diri ke separuh akhir saingan Piala Malaysia 2021 selepas tewas kepada Melaka United dengan jaringan 2-1 pada aksi pusingan kedua suku akhir di Stadium Hang Jebat di sini malam tadi.
Kemenangan Melaka United itu sekali gus melayakkan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan ke peringkat separuh akhir dengan agregat 3-1 yang mana terlebih dahulu dmenewaskan skuad Badak 1-0 di Stadium Likas Ahad lalu.
Pada aksi perlawanan malam tadi, Melaka United selaku tuan rumah tampil dalam misi mengekalkan kelebihan 1-0 pada pusingan pertama jelas tidak menunggu lama untuk membuka jaringan pembukaan menerusi Adriano Narcizo seawal minit ketiga.
Gol terbabit berpunca daripada hantaran Manuel Ott yang disambut baik Andriano untuk meledak ke kanan gawang pelawat yang gagal diselamatkan penjaga gol Rozaimie Rohim.
Jaringan pertama itu menyemarakkan semangat pemain Melaka untuk menggandakan asakan bagi memburu jaringan lebih besar namun peluang yang hadir pada minit ke-19 menerusi Sony Norde berjaya diselamatkan Rozaimie.
Tidak terhenti di situ, asakan bertali arus skuad Hang Tuah berterusan menerusi rangkaian Norde, Ott, S Kumahraan dan Andriano tetapi deretan peluang menerusi Adriano pada minit ke-27 Gioavane (m29); Norde (m30); Kumahraan (m35) dan Khairul Anwar Shahrudin (m39) gagal merobek gawang lawan.
Melaka terus melancarkan serangan pada babak kedua dan selepas melepaskan beberapa peluang, akhirnya mereka memperoleh gol kedua menerusi tolakan Norde pada minit ke-78) selepas menerima hantaran Andriano.
Bagaimanapun, Sabah FC mendapat gol sagu hati pada akhir permainan selepas Risto Mitrevski menyempurnakan sepakan penalti.





